TENTERA Israel meneruskan operasi di semenanjung Gaza. FOTO AFP.
TENTERA Israel meneruskan operasi di semenanjung Gaza. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Israel pada dasarnya menerima cadangan gencatan senjata selama enam minggu di Gaza, menurut pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden, semalam.

Beliau dilapor berkata, fasa kedua gencatan senjata akan diusahakan selama enam minggu untuk membina sesuatu yang lebih kekal.

Gencatan senjata itu juga akan membolehkan pembebasan tebusan di Gaza termasuk wanita, warga emas dan mangsa yang cedera, serta kemasukan bantuan ke wilayah pesisir pantai yang terkepung berkenaan.

Pegawai itu yang dilapor CNN berkata, rangka kerja perjanjian sudah diterima Israel, namun perkara utama adalah Hamas belum lagi bersetuju dengan 'kategori tebusan yang berisiko'.

Sumber AS pada Jumaat menyifatkan perbincangan untuk mencapai perjanjian bagi menghentikan pertempuran antara Hamas dan Israel pada Ramadan yang kira-kira seminggu lagi, berada di landasan yang betul.

Biden semalam menyeru disegerakan gencatan senjata dan memaklumkan negara itu berusaha menjayakan perjanjian antara Israel dan Hamas untuk tempoh sekurang-kurangnya enam minggu akan datang.

Ketika usaha antarabangsa untuk menjadi perantara gencatan senjata berterusan, lebih banyak rundingan sedang dirancang di Kaherah.

Perunding dari AS, Israel, Mesir dan Hamas dijangka hadir, kata sumber diplomatik yang biasa dengan perbincangan itu. Namun, tidak jelas sama ada Qatar akan hadir.

Perbincangan antara Israel dan Hamas berlangsung secara berasingan, dengan Israel menuntut Hamas menyenaraikan tebusan termasuk siapa yang masih hidup dan sudah mati.

Hamas dilapor belum memberi maklum balas terhadap mesyuarat Paris minggu lalu, yang diikuti mesyuarat teknikal di Doha dengan pasukan daripada AS, Mesir, Qatar dan Israel, pada minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 11:37 AM