PENDUDUK mengambil kesempatan berniaga di jalanan bandar Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK mengambil kesempatan berniaga di jalanan bandar Gaza. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Pertempuran antara tentera Israel dan lelaki bersenjata Palestin masih berlaku di seluruh Semenanjung Gaza pada hujung minggu, ketika negara pengantara sedang mempercepatkan rundingan mengenai kemungkinan gencatan senjata untuk membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas serta menangguhkan perang ketika Ramadan.

Prospek untuk mendapatkan sebarang gencatan senjata kelihatan tidak pasti, bagaimanapun, dengan Israel berkata ia secara selari dengan rancangan untuk meluaskan usahanya memusnahkan Hamas, manakala satu pihak lagi tegas dengan tuntutannya untuk menamatkan perang yang berlangsung hampir lima bulan itu.

Penduduk berkata tentera Israel membedil beberapa enklaf itu dengan kereta kebal bergerak ke Beit Lahiya manakala tentera dan lelaki bersenjata melancarkan pertempuran di sektor Zeitoun di Bandar Gaza - kedua-duanya di utara, yang sudah ditakluki pada awal serangan.

Sekurang-kurangnya 86 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara sejak Sabtu, kata pegawai perubatan pada Ahad.

Tentera Israel berkata, dua anggotanya terkorban dalam pertempuran di selatan Gaza, selain membunuh atau menangkap penembak Palestin di Zeitoun dan beberapa tempat.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memanggil anggota kabinetnya untuk taklimat lewat Sabtu oleh ketua perisikan yang pulang dari pertemuan dengan negara pengantara, iaitu Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) di Paris mengenai kemungkinan gencatan senjata kedua di Gaza.

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan memberitahu CNN bahawa rundingan untuk AS, Qatar dan Israel mengenai kontur asas perjanjian tebusan semasa perbincangan di Paris 'mendapat persefahaman'.

Perjanjian itu masih dalam rundingan, kata Sullivan, yang menambah perlu ada perbincangan tidak langsung oleh Qatar dan Mesir dengan Hamas.

Sementara, Netanyahu memberitahu CBS, belum jelas sama ada perjanjian tebusan akan menjadi kenyataan hasil rundingan itu, enggan membincangkan secara spesifik tetapi berkata Hamas perlu membuat tuntutan yang lebih munasabah.

"Mereka berada di planet lain. Tetapi jika mereka datang ke situasi yang munasabah, maka ya kita akan mempunyai perjanjian tebusan. Saya harap begitu," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pandangan Netanyahu menimbulkan keraguan terhadap kesediaan Israel untuk mendapatkan perjanjian.

"Komen Netanyahu menunjukkan dia tidak prihatin untuk mencapai persetujuan," kata Abu Zuhri kepada Reuters, sambil mendakwa pemimpin Israel itu mahu 'menjalankan rundingan di bawah pengeboman dan pertumpahan darah (orang Palestin)'.

Sumber keselamatan Mesir berkata akan ada lebih banyak rundingan minggu ini di Doha, dengan negara pengantara bergerak antara Hamas dan perwakilan Israel, dan pusingan susulan di Kaherah.

Katanya, tidak ada pengesahan segera daripada Israel, Hamas atau Qatar.

Jeda perang pertama pada November, menyaksikan pembebasan kira-kira separuh daripada 253 orang yang ditahan Hamas ketika serangan pada 7 Oktober.

Dalam perjanjian itu, Israel membebaskan tiga kali ganda jumlah penduduk Palestin dari penjara keselamatannya dan menerima lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 9:37 AM