KANAK-kanak membersihkan runtuhan yang jatuh di atas kenderaan. FOTO AFP
KANAK-kanak membersihkan runtuhan yang jatuh di atas kenderaan. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meminta bantuan pemimpin Mesir dan Qatar berbincang dengan Hamas supaya bersetuju dengan perjanjian dengan Israel, kata seorang pegawai Amerika, sebelum rundingan di Kaherah.

Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar terbabit dalam rundingan di belakang tabir selama berminggu-minggu dalam usaha untuk mendapatkan gencatan senjata sementara di Semenanjung Gaza dan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Rumah Putih berkata rundingan akan berlaku pada hujung minggu di Kaherah, tetapi tidak mengesahkan laporan media AS bahawa Pengarah CIA Bill Burns akan hadir bersama ketua Mossad David Barnea, Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dan Ketua Perisikan Mesir Abbas Kamel.

Biden, ketika berhubung dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis, menjelaskan segala-galanya mesti dilakukan untuk memastikan pembebasan tebusan, termasuk warga Amerika, yang kini ditahan oleh pejuang Hamas selama hampir enam bulan," kata seorang pegawai kanan pentadbiran Biden yang enggan dikenali kepada AFP.

Pegawai itu berkata, pada Jumaat Biden 'menulis surat' kepada Presiden Mesir dan Emir Qatar mengenai keadaan rundingan dan dia menggesa mereka untuk mendapatkan komitmen daripada Hamas supaya bersetuju dan mematuhi perjanjian.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby sebelum ini memberitahu pemberita, bahawa komunikasi antara Biden dengan Netanyahu termasuk perbincangan mengenai 'mendapatkan perjanjian tebusan, memberi kuasa kepada perundingnya untuk membuat kesimpulan mengenai perkara ini'.

"Fakta asas ini kekal benar, akan ada gencatan senjata di Gaza sekiranya Hamas bersetuju untuk membebaskan tebusan yang dikategorikan sebagai sakit, cedera, warga emas dan wanita muda," kata pegawai AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 11:42 AM