GAMBAR FAIL: Kanak-kanak Palestin memeriksa tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza, 27 April 2024. FOTO REUTERS/Hatem Khaled
GAMBAR FAIL: Kanak-kanak Palestin memeriksa tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza, 27 April 2024. FOTO REUTERS/Hatem Khaled
AFP

Baitulmaqdis: Pemimpin Hamas berkata ia sedang mengkaji cadangan balas terbaru Israel untuk gencatan senjata Gaza, sehari selepas laporan media mengatakan delegasi dari pengantara Mesir berada di Israel cuba memulakan rundingan yang terhenti.

Tanda-tanda rundingan gencatan senjata yang baharu, muncul selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa dalam tempoh enam minggu akan datang Gaza diancam kebuluran melainkan bantuan makanan besar-besaran tiba.

Kumpulan bantuan berkata, keadaan kemanusiaan di Gaza yang sudah menjadi bencana akan bertambah buruk dengan ikrar Israel untuk menyerang pejuang Hamas yang masih berada di Rafah, bandar paling selatan Gaza.

Rafah di sempadan dengan Mesir, sesak dengan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang hampir tujuh bulan antara Israel dan gerakan Islam.

"Kami hidup dalam ketakutan yang berterusan. Ketakutan akan perpindahan lagi sebab pencerobohan berulang," kata Nidaa Safi, 30, yang melarikan diri dari serangan Israel di utara dan datang ke Rafah bersama suami dan anak-anaknya, memberitahu AFP.

Timbalan Ketua Politik Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, berkata pihaknya 'menerima maklum balas rasmi Israel berhubung pendirian pergerakan itu', yang diserahkan kepada pengantara Mesir dan Qatar pada 13 April.

Dalam satu kenyataan, Hayya berkata Hamas 'akan mengkaji cadangan ini' sebelum menjawabnya.

Pergerakan terbabit sebelum ini mendesak gencatan senjata kekal sebagai syarat utama rundingan, namun ditolak oleh Israel.

Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini gagal memeterai perjanjian gencatan senjata baharu Gaza sejak pemberhentian perang selama seminggu pada November yang menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 tahanan Palestin di penjara Israel.

Agensi media Al-Qahera News, yang dikaitkan dengan perkhidmatan perisikan Mesir, melaporkan 'terdapat kemajuan yang ketara dalam persefahaman antara delegasi Mesir dan Israel'.

Sementara itu, sayap bersenjata Hamas turut menyiarkan rakaman video dua lelaki diculik sebagai tebusan di Gaza, yang dikenal pasti oleh kumpulan kempen Israel iaitu Forum Tebusan dan Keluarga Hilang, sebagai Keith Siegel dan Omri Miran.

"Sudah tiba masanya untuk mencapai perjanjian yang akan membawa kami keluar dari sini dengan selamat dan sihat... teruskan membantah, supaya ada perjanjian sekarang," kata Miran dalam rakaman yang mungkin dirakamkan awal minggu ini.

Warganegara AS, Siegel, 64, kecewa ketika beliau bercakap mengenai penculikannya.

"Kami berada dalam bahaya di sini, terdapat bom, ia memberi tekanan dan sangat menakutkan," katanya.

Semalam, Menteri Luar Israel, Israel Katz, berkata pencerobohan yang dirancang di bandar Rafah di selatan Gaza boleh ditangguhkan sekiranya terdapat perjanjian untuk membebaskan tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas.

#kw gencatan senjata, tebusan, Gaza, Palestin,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:19 PM