TENTERA Jordan menghantar bungkusan bantuan di sepanjang pantai Gaza dalam operasi bersama Mesir, Qatar, Perancis dan UAE. FOTO Reuters
TENTERA Jordan menghantar bungkusan bantuan di sepanjang pantai Gaza dalam operasi bersama Mesir, Qatar, Perancis dan UAE. FOTO Reuters
Bernama-Anadolu

Bandar Gaza: Beribu-ribu rakyat Palestin berkumpul di pantai di selatan Semenanjung Gaza pada Selasa selepas pesawat menggugurkan bantuan makanan di wilayah terkepung itu.

Walaupun ada barangan makanan itu jatuh ke laut penduduk tetap berusaha mendapatkannya dan ada yang menggunakan bot kecil, lapor Agensi Anadolu.

Kira-kira 2.3 juta penduduk Semenanjung Gaza kini sedang berdepan krisis kemanusiaan yang teruk.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, program bual bicara Al Qahera Al Youm yang dikenali kerana hubungan baik dengan pihak berkuasa Mesir melaporkan pada awal hari ini bahawa sebanyak 45 tan bantuan kemanusiaan Mesir telah digugurkan di kawasan utara dan tengah Semenanjung Gaza.

Emiriah Arab Bersatu dan Jordan turut serta dalam misi itu.

TENTERA Jordan menjatuhkan bekalan makanan melalui pesawat di sepanjang pantai Gaza. FOTO Reuters
TENTERA Jordan menjatuhkan bekalan makanan melalui pesawat di sepanjang pantai Gaza. FOTO Reuters

Konflik Israel-Hamas mengakibatkan penduduk Gaza kini di ambang krisis kebuluran akibat kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

Kira-kira dua juta rakyat Palestin di wilayah itu telah kehilangan tempat tinggal yang telah berada di bawah kepungan Israel selama 17 tahun.

Peningkatan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu di Semenanjung Gaza menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan mereka, menurut amaran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 19 Februari.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas membunuh hampir 30,000 penduduk Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:00 PM