IMEJ satelit Maxar Technologies menunjukkan pembinaan jeti di pantai Gaza oleh tentera AS pada 18 Mei lalu. FOTO AFP.
IMEJ satelit Maxar Technologies menunjukkan pembinaan jeti di pantai Gaza oleh tentera AS pada 18 Mei lalu. FOTO AFP.
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) menyambung semula penghantaran bantuan ke Gaza dari jeti sementara, kata tentera negara itu semalam.

Ia selepas struktur itu yang rosak akibat ribut selesai menjalani pembaikan di pelabuhan berdekatan.

"Hari ini (Sabtu) kira-kira 10.30 pagi (waktu Gaza) Komando Pusat AS (USCENTCOM) memulakan penghantaran bantuan kemanusiaan ke darat di Gaza.

"Kira-kira 492 tan metrik bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan, dihantar kepada penduduk Gaza," kongsi CENTCOM di platform X.

Gaza musnah dalam operasi Israel terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas yang kini memasuki bulan kesembilan.

Kekejaman itu mengorbankan ramai penduduk semenanjung Gaza dan meninggalkan sebahagiannya di bawah keperluan bantuan kemanusiaan yang mendesak.

Lebih dua juta paun bantuan kemanusiaan dihantar melalui jeti sementara itu bulan lalu, tetapi ia rosak selepas dibadai ombak kuat, kira-kira seminggu selepas penghantaran melalui bermula.

Jeti itu bagaimanapun dibaiki di pelabuhan Ashdod, Israel sebelum dipasang semula di pantai Gaza pada Jumaat.

Israel dituduh sengaja menangguhkan kemasukan bantuan ke Gaza, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu kehilangan air bersih, makanan, ubat-ubatan dan bahan api.

Rancangan membina jeti itu diumumkan Presiden AS, Joe Biden pada awal Mac lalu dan tentera dan kapal tentera AS dikerah melakukan perjalanan jauh ke Mediterranean untuk pembinaan berkenaan.

Di samping berusaha mewujudkan koridor maritim untuk penghantaran bantuan, AS juga menyampaikan bantuan melalui udara, sebelum penguguran bantuan cara itu digantung kerana pertempuran di utara Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 10:31 AM