PENDUDUK Palestin duduk di kawasan rumah yang musnah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin duduk di kawasan rumah yang musnah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Rancangan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk pascaperang Gaza bertentangan dengan penyelesaian dua negara, Israel dan Palestin, lapor portal Agensi Anadolu.

Perkara itu didedahkan jurucakap Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric.

Beliau menegaskan bahawa rancangan itu bertentangan dengan segala yang pihaknya harapkan termasuk untuk melihat Israel dan Palestin untuk hidup bersebelahan dalam keadaan damai.

"Kami jelas sudah melihat laporan itu...," katanya kepada pemberita di New York.

Kenyataan Dujarric dibuat selepas Netanyahu mencadangkan kepada Kabinetnya mengenai rancangan untuk kawalan keselamatan Israel sepenuhnya dan tanpa had ke atas Gaza.

Selain itu, pelan itu turut mencadangkan penutupan operasi agensi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin di Asia Barat.

Menurut laporan AFP pula, rancangan itu antara lain membayangkan hal ehwal sivil di Gaza selepas perang dikendalikan oleh pegawai Palestin yang tiada kaitan dengan Hamas.

Ia juga menyatakan bahawa, walaupun selepas perang, tentera Israel akan mempunyai "kebebasan yang tidak terbatas" untuk beroperasi di seluruh Gaza bagi menghalang sebarang kebangkitan semula "aktiviti keganasan".

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengulangi gesaan bahawa sebarang penyelesaian yang mampan untuk keamanan jangka panjang mestilah dalam rangka kerja penyelesaian dua negara, menamatkan penjajahan, dan penubuhan sebuah negara yang bebas sepenuhnya, demokratik dan berdampingan.

Menurutnya lagi, Palestin negara yang berdaulat dan berdaya maju di mana Gaza adalah bahagian penting dalam penyelesaian dua negara itu, selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB yang berkaitan dan perjanjian dua hala sedia ada.

Perang Israel ke atas Gaza menyebabkan 85 peratus daripada penduduk wilayah itu berpindah di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Keputusan sementara ICJ pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:43 PM