DATUK Seri Mohamad Hasan. FOTO Bernama
DATUK Seri Mohamad Hasan. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Rembau: Malaysia berharap bantuan kemanusiaan dapat di bawa masuk ke Gaza tanpa sekatan susulan keputusan dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini bagi membolehkan bantuan itu dapat diberikan kepada rakyat Palestin yang ketika ini menderita kebuluran.

Katanya, Israel dilihat menjadikan kebuluran ini sebagai satu taktik perang mereka untuk menghalau rakyat Palestin keluar daripada negara mereka.

"Semalam, ICJ menetapkan langkah-langkah sementara terhadap kes yang dibawa oleh negara Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948.

"Langkah awal ini adalah satu kemenangan bagi negara-negara yang mahu supaya kekejaman pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim zionis Israel di Gaza dihentikan serta merta.

"Jadi, Malaysia amat mengalu-alukan ketetapan ini selaras dengan apa jua segala langkah dan tindakan yang dilakukan negara ini, yang melihat kekejaman di Gaza ini sebagai pembunuhan beramai-ramai.

"Kita berharap Israel yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948 itu akur kepada keputusan yang dibuat ICJ," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan ICJ semalam yang memerintahkan Israel mengambil tindakan mencegah pembunuhan beramai-ramai dalam konfliknya di Semenanjung Gaza.

ICJ dalam keputusan bagi kes difailkan Afrika Selatan, berkata Israel perlu memastikan pasukannya tidak melakukan genosid dan mengambil langkah untuk memperbaiki situasi kemanusiaan bagi orang awam Palestin di kawasan berkenaan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata terdapat enam langkah yang telah ditetapkan oleh ICJ itu sementara menunggu perbicaraan penuh.

Beliau berkata, selepas ketetapan ini dibuat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar pasukan mereka untuk melihat bukti yang dikemukakan di ICJ berkenaan.

"Pada perbicaraan penuh di ICJ pada 22 Februari nanti, saya mewakili kerajaan Malaysia untuk membuat penyerahan lisan sebagai tanda sokongan dan berharap kes ini nanti dapat dibahaskan," katanya.

Mohamad berkata, beliau turut gembira dengan kenyataan daripada menteri luar Jerman (sekutu terkuat Israel), yang meminta Israel akur dengan ketetapan dan langkah sementara seperti ditetapkan ICJ terbabit.

"Apa yang kita harapkan adalah bantuan kemanusiaan terutama makanan dan ubat-ubatan dapat masuk ke Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 5:41 PM