PENDUDUK Palestin menunaikan solat Jumaat di masjid yang musnah akibat serangan Israel. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin menunaikan solat Jumaat di masjid yang musnah akibat serangan Israel. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Palestin menyelar rancangan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk perangpasca Gaza, sebagai pengakuan rasmi untuk menduduki semula wilayah itu, lapor portal Agensi Anadolu.

Netanyahu mencadangkan kepada Kabinetnya mengenai rancangan untuk kawalan keselamatan Israel sepenuhnya dan tanpa had ke atas Gaza.

Selain itu, beliau mencadangkan penutupan sepenuhnya Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) sebagai sebahagian daripada rancangannya apabila perang ke atas Gaza, berakhir.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Palestin menolak sekeras-kerasnya apa yang dirujuk media Israel sebagai prinsip Netanyahu untuk pascaperang Gaza.

Kenyataan itu menganggap prinsip itu sebuah pengakuan rasmi untuk menduduki semula Semenanjung Gaza dan mengenakan kawalan Israel ke atasnya.

Kenyataan itu menyebut kenyataan Netanyahu itu sebagai rancangan untuk memanjangkan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, dan percubaan untuk mendapatkan lebih banyak masa untuk melaksanakan rancangan pemindahan penduduk Gaza.

Ia juga menggambarkan gerakan yang terang-terangan menghalang usaha Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa, untuk gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan, menyelesaikan konflik dan penubuhan negara Palestin.

Israel menduduki Semenanjung Gaza pada tahun 1967 sebelum berundur sepenuhnya dari wilayah itu pada 2005.

Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan pula dilaporkan AFP sebagai berkata, pihaknya menolak rancangan Netanyahu dan menyifatkannya sebagai tidak dapat dilaksanakan.

"Apabila perang berakhir di Semenanjung Gaza, Netanyahu membentangkan idea yang dia tahu sepenuhnya tidak akan berjaya," kata Hamdan kepada pemberita di Beirut.

AFP turut melaporkan Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby berkata, Washington "secara konsisten jelas dengan rakan sejawat Israel kami" mengenai apa yang diperlukan dalam Gaza selepas perang.

"Rakyat Palestin sepatutnya mempunyai suara dan undi... melalui Pihak Berkuasa Palestin yang dihidupkan semula.

"Kami tidak percaya dengan pengurangan saiz Gaza... kami tidak mahu melihat sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin di luar Gaza dan, sudah tentu, kami tidak mahu melihat Gaza dikuasai atau diperintah atau ditadbir oleh Hamas," katanya.

Ditanya mengenai rancangan itu semasa lawatan ke Argentina, Setiausaha Negara AS Antony Blinken pula berkata, beliau akan "memberi pertimbangan" sehingga melihat semua butiran, tetapi berkata, Washington menentang sebarang "pendudukan semula" Gaza selepas perang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:03 PM