TENTERA Israel di Gaza. FOTO Reuters
TENTERA Israel di Gaza. FOTO Reuters
AFP

The Hague: Israel dan Afrika Selatan akan berhadapan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mulai Khamis ini.

Pretoria, ibu negara Republik Afrika Selatan, mendakwa rejim Zionis itu melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, manakala Israel menolak tuduhan itu sebagai 'blood libel', iaitu fitnah pembunuhan berdarah.

Dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Afrika Selatan menggesa hakim supaya memerintahkan Israel menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza.

Afrika Selatan mendakwa bahawa Israel "telah terbabit dan berisiko terbabit dalam tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza."

Israel membalas tuduhan itu dengan jurucakap kerajaan Eylon Levy berikrar untuk memerangi kes Afrika Selatan yang disifatkannya sebagai, "blood libel yang tidak masuk akal."

"Betapa tragisnya negara yang berbangga memerangi perkauman akan memerangi probono untuk perkauman anti-Yahudi," tambah Levy.

"Tidak Afrika Selatan, bukan kami yang datang untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, tetapi Hamas," kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pegawai tertinggi dari kedua-dua negara akan berhadapan di Dewan Besar Keadilan ICJ yang terletak di Peace Palace, The Hague.

Konflik di Gaza bermula selepas serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Kempen tentera Israel pula membunuh sekurang-kurangnya 22,722 orang, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

PBB menganggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kebuluran dan jangkitan penyakit.

ICJ secara teori boleh memerintahkan Israel untuk menghentikan pencerobohannya tetapi sangat meragukan ia akan dipatuhi.

Pada Mac 2022, ICJ mengarahkan Rusia untuk menangguhkan serta-merta pencerobohannya ke atas Ukraine - arahan itu diabaikan Moscow.

Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel kerana kedua-dua negara menandatangani Konvensyen Genosid PBB, yang diwujudkan pada 1948 sebagai tindak balas kepada Holocaust.

Afrika Selatan berkata, ia amat menyedari betapa beratnya tanggungjawab dalam memulakan prosiding terhadap Israel kerana pelanggaran Konvensyen Genosid.

Kes itu ditolak di Washington sebagai "tidak berbaloi, tidak produktif dan sama sekali tanpa sebarang asas sebenarnya."

Levy, jurucakap kerajaan Israel, berkata Afrika Selatan memberi perlindungan politik dan undang-undang kepada serangan Hamas dan bersubahat secara jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 12:58 PM