AHLI pasukan keselamatan Houthi berkawal ketika demonstrasi di Sanaa, ibu kota Yaman yang di bawah kawalan kumpulan pemberontak itu. FOTO AFP
AHLI pasukan keselamatan Houthi berkawal ketika demonstrasi di Sanaa, ibu kota Yaman yang di bawah kawalan kumpulan pemberontak itu. FOTO AFP
AFP

Washington: Dua anggota Seal iaitu pasukan elit Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), yang hilang semasa operasi merampas senjata Iran yang dalam perjalanan untuk diserahkan kepada pemberontak Houthi Yaman, diisytiharkan mati selepas gagal dikesan ketika pencarian selama 10 hari, kata tentera AS pada Ahad.

Komando Pusat (Centcom) sebelum ini berkata, dua anggota Seal yang dilaporkan hilang di laut itu terbabit dalam operasi 11 Januari, di mana anggota operasi khas elit menaiki bot layar di luar pantai Somalia dan merampas komponen peluru berpandu buatan Iran.

"Kami dukacita untuk mengumumkan bahawa selepas pencarian menyeluruh selama 10 hari, dua anggota Seal Tentera Laut AS kami tidak ditemukan dan status mereka ditukar kepada mati," kata Centcom dalam satu kenyataan.

"Operasi mencari dan menyelamat dua anggota Seal yang dilaporkan hilang semasa menaiki bot layar haram yang membawa senjata konvensional canggih Iran... selesai dan kami kini menjalankan operasi pemulihan," kata kenyataan itu.

Centcom menyifatkan rampasan komponen peluru berpandu sebagai "rampasan pertama senjata konvensional termaju yang dibekalkan oleh Iran... kepada Houthi sejak permulaan serangan Houthi terhadap kapal dagang pada November 2023."

Pada bulan sama, Houthi mula menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah yang mereka dakwa ada kaitan dengan Israel - serangan yang dikatakan sebagai menyokong rakyat Palestin di Gaza, di mana tentera Israel memerangi Hamas.

AS dan United Kingdom melakukan serangan ke atas berpuluh-puluh sasaran pemberontak awal bulan ini, dan tentera AS sejak itu menangkis beberapa peluru berpandu yang Washington katakan bersedia untuk dilancarkan dan memberi ancaman kepada kedua-dua kapal awam dan tentera.

Houthi - yang mengisytiharkan kepentingan Amerika dan British sebagai sasaran yang sah - masih belum dihalang, dan terus melakukan serangan ke atas kapal.

Kira-kira 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah antara barat daya Yaman dan Djibouti, tetapi serangan pemberontak menyebabkan banyak kapal terpaksa melalui laluan jauh di sekitar perairan Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 9:11 AM