PESAWAT American Airlines. FOTO AFP
PESAWAT American Airlines. FOTO AFP
Agensi

Washington: Seorang penumpang mendakwa dirinya dipaksa menyembunyikan sweater tertera perkataan Palestin dipakainya di dalam pesawat American Airlines.

The Independent UK melaporkan, penumpang lelaki itu berdepan pengalaman berkenaan ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) New York ke Phoenix, Arizona.

Dia menyelar tindakan itu dan menuduh syarikat penerbangan terbabit bersubahat dalam pembunuhan kanak-kanak Palestin yang tidak bersalah di Gaza.

Lelaki itu berkata, dia memakai sweater tertera perkataan Palestin dan baginya, pakaian berkenaan tidak menyinggung perasaan orang lain atau tidak senonoh.

Bagaimanapun, sebaik menaiki pesawat, lelaki itu mendakwa diminta oleh pramugari untuk menyembunyikan perkataan itu dengan memakai baju itu secara terbalik dan memberi amaran akan diusir dari pesawat, jika ingkar dengan arahan.

Kru penerbangan didakwa memberitahunya bahawa penumpang dilarang memakai apa-apa pakaian mempunyai lambang politik dan menyatakan kebimbangan perasaan penumpang lain mengenainya

"Bagaimana dengan perasaan saya?" soal lelaki itu.

Lelaki itu berkata, dia mengikut arahan pramugari itu kerana dia tidak tahu mengenai haknya.

Menurut polisi American Airlines mengenai pakaian penumpang, penumpang dikehendaki berpakaian sesuai.

"Pakaian yang menyinggung (perasaan) adalah tidak dibenarkan," katanya.

Dasar itu tidak menyebut pakaian politik tidak dibenarkan.

Sementara itu, Jawatankuasa Antidiskriminasi Amerika-Arab (ADC) mengecam syarikat penerbangan itu berhubung insiden berkenaan.

"Tindakan yang diambil oleh American Airlines ini bukan sahaja mendiskriminasi tetapi juga menyumbang kepada konteks prejudis yang lebih luas terhadap rakyat Palestin dan hak mereka untuk pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 10:23 AM