PESAWAT Airbus A320 milik Spirit Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Airbus A320 milik Spirit Airlines. FOTO fail AFP
Agensi

Washington: Syarikat penerbangan, Spirit Airlines membuat permohonan maaf selepas meletakkan kanak-kanak bawah umur enam tahun tanpa ditemani orang dewasa, di dalam pesawat yang salah.

Independent UK melaporkan, kanak-kanak itu pada Khamis lalu dijadualkan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Barat Daya Florida di Fort Myers, Florida, Amerika Syarikat (AS), bagi melawat neneknya, lapor WINK-TV.

Sebaliknya, kanak-kanak lelaki itu dimasukkan secara salah dalam penerbangan ke Orlando, kata Spirit Airlines yang mengakui kesalahan itu dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.

Kenyataan itu tidak menyatakan bagaimana kesilapan itu berlaku.

"Kanak-kanak itu sentiasa berada di bawah jagaan dan pengawasan kakitangan Spirit Airlines.

"Sebaik menyedari kesilapan itu, kami mengambil langkah segera untuk berhubung dengan keluarga dan mempertemukan semula mereka.

"Kami mengambil serius mengenai keselamatan dan tanggungjawab mengangkut semua penumpang dan sedang menjalankan siasatan.

"Kami memohon maaf kepada keluarga atas apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, nenek kepada kanak-kanak itu, Maria Ramos, memberitahu WINK-TV mengenai perasaan paniknya apabila menyedari cucunya tidak tiba di lapangan terbang.

"Mereka memberitahu saya, 'Tidak, dia tidak berada dalam penerbangan ini. Dia terlepas penerbangannya'. Saya berkata, 'Tidak, dia tidak boleh terlepas penerbangannya kerana saya mempunyai tanda daftar masuk'," kata Ramos.

"Saya berlari masuk ke dalam pesawat, pergi ke pramugari dan bertanya kepadanya, 'Di mana cucu saya? Dia sudah diserahkan kepada kamu di Philadelphia?'

"Jawabnya, 'Tidak, saya tidak mempunyai kanak-kanak dengan saya'," katanya.

Tidak lama selepas itu, kanak-kanak lelaki itu menghubunginya untuk melaporkan bahawa dia sudah mendarat dengan selamat di bandar yang salah.

Ramos berkata, Spirit Airlines tidak memberi penjelasan kepadanya berhubung insiden itu.

"Saya mahu mereka menghubungi saya dan memberitahu saya bagaimana cucu saya boleh berada di Orlando.

"Bagaimana ia berlaku? Adakah mereka mengeluarkannya dari pesawat? Adakah dia membiarkannya pergi sendiri? Dia melompat ke dalam pesawat yang salah sendiri?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 11:12 AM