TANGKAP layar rakaman TikTok. FOTO Agensi
TANGKAP layar rakaman TikTok. FOTO Agensi
Agensi

Dallas: Seorang wanita terpaksa'diikat' menggunakan pita pelekat di kerusi tempat duduknya ketika berada dalam pesawat American Airlines selepas dilaporkan cuba membuka pintu kapal terbang dan menyebabkan kecederaan kepada pramugari.

Agensi melaporkan, rakaman video TikTok menunjukkan seorang wanita yang didakwa mempunyai masalah mental 'diikat' di kerusi ketika penerbangan dari Dallas ke Charlotte, Amerika Syarikat pada 6 Julai lalu.

American Airlines berkata pelanggannya itu cuba membuka pintu hadapan penerbangan dan mencederakan fizikal serta menggigit pramugari.

Pemilik akaun TikTok, Arieana Mathena berkongsi videonya yang memaparkan keadaan wanita itu dalam penerbangan pada waktu malam.

Menurutnya, kejadian berlaku 1.30 pagi apabila dia melihat pramugari berlari di lorong laluan dengan keadaan panik serta berbisik antara satu sama lain.

"Apabila ditanya pramugari tidak mengatakan apa-apa dan mereka mengunci pintu bilik air. Keadaan kelam kabut dan tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang terjadi.

"Juruterbang menggunakan interkom meminta kami semua duduk di tempat masing-masing dan mengatakan berlaku situasi buruk di dalam penerbangan dan mereka sedang menanganinya.

"Kami mendengar orang menjerit dan kami difahamkan ada seorang wanita yang duduk di kelas pertama cuba keluar dari penerbangan," katanya.

Tambahnya lagi, dia dapat melihat seorang wanita diikat di kerusi penerbangan dengan mulut juga ditutup malah ketika keluar, anggota paramedik sedia menunggu.

Sementara itu, jurucakap American Airlines mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku ketika penerbangan dari Dallas-Fort Worth (DFW) ke Charlotte (CLT).

Mereka berkata, "Demi keselamatan dan keselamatan pelanggan lain dan krew kami, individu itu dikekang hingga penerbangan mendarat di CLT.

"Penerbangan mendarat tanpa kejadian tidak diingini berlaku. Wanita itu dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:53 PM