DEREK Rosa menghubungi talian 911 bagi membuat pengakuan membunuh ibunya. FOTO Agensi
DEREK Rosa menghubungi talian 911 bagi membuat pengakuan membunuh ibunya. FOTO Agensi
Agensi

Miami: Remaja lelaki berusia 13 tahun didakwa menghubungi talian kecemasan 911 untuk mengaku membunuh ibunya.

Mirror UK memetik jurucakap polis melaporkan, Derek Rosa melakukan perbuatan itu ketika ibunya, Irene Garcia, 39, sedang tidur di sebelah adik perempuannya yang baru lahir.

Remaja itu juga dilaporkan turut menghantar gambar adegan itu kepada rakannya.

Menurut polis, Rosa akan menghadapi pertuduhan membunuh sebagai seorang dewasa selepas juri membenarkan remaja itu didakwa.

Bagaimanapun, dia tidak hadir ke perbicaraan mahkamah pertamanya pada Jumaat.

Seorang jiran berkata mereka terkedu dengan apa yang berlaku.

Rosa dilaporkan menghubungi 911 pada 12 Oktober dan didakwa memberitahu operator bahawa dia baru membunuh ibunya di rumah mereka di Hialeah, Florida.

Rakaman audio panggilan itu dikeluarkan awal minggu ini dan kedengaran bagaimana Rosa memberitahu operator bahawa dia juga sudah mengambil gambar ibunya.

Ketika kejadian, Irene dilaporkan tidur di atas katil bersama bayi perempuannya

Dia didakwa memberitahu ada pisau di dalam biliknya dan pistol di ruang tamu.

Rosa berada di talian selama 18 minit sehingga polis tiba di alamat berkenaan, lapor New York Post.

Bapa dan nenek Rosa hadir di mahkamah juvana bagi pihaknya pada Jumaat.

Kejadian tikaman itu dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam pada 12 Oktober lalu.

Media tempatan melaporkan, sebaik pegawai polis tiba, Irene Garcia dilaporkan terbaring di sebelah katil bayi di mana anak perempuannya yang berusia 14 hari sedang tidur.

Menurut pihak berkuasa, Rosa adalah pelajar yang baik dan tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan mental sebelum ini.

Hakim memerintahkan Rosa ditahan tanpa diikat jamin dan dipindahkan ke Pusat Tahanan Metro West.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 2:43 PM