RAKAMAN kamera pengawasan menunjukkan kanak-kanak itu menembak dua rakan pasukannya. FOTO Jabatan Polis Apopka
RAKAMAN kamera pengawasan menunjukkan kanak-kanak itu menembak dua rakan pasukannya. FOTO Jabatan Polis Apopka
Agensi

Miami: Hanya kerana bergaduh mengenai sebungkus snek, kanak-kanak 11 tahun di Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini, bertindak menembak dua rakan pasukan bolanya.

Ketua Polis Apopka, Michael McKinley mengesahkan, susulan kejadian, budak itu ditahan di lokasi kejadian iaitu di luar kompleks latihan di Apopka.

Katanya, kanak-kanak itu didakwa menembak dua rakan dalam pasukan bola sepak remaja, Pop Warner, selepas sesi latihan malam di luar kompleks itu, Isnin lalu.

Mereka dipercayai bergaduh kerana sebungkus snek.

"Suspek memukul dan mencederakan dua orang.

"Dia juga bakal berdepan satu pertuduhan cubaan membunuh tahap dua.

"Bergantung kepada pihak mahkamah sama ada mereka mahu memisahkan semua pertuduhan itu (menjadikannya pertuduhan berasingan)," katanya.

Fox Orlando melaporkan, kanak-kanak lelaki itu mengambil pistol dari kotak tidak berkunci di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) milik ibunya, sebelum melepaskan tembakan ke arah rakan sepasukan, hingga terkena pada bahagian belakang badan seorang mangsa.

Tembakan turut mengenai lengan seorang remaja.

Kedua-dua mangsa yang berumur 13 tahun mendapat rawatan di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Rakaman pengawasan yang dirakam dari sebuah bangunan berhampiran dengan lokasi tembakan kelihatan menunjukkan suspek dikejar salah seorang mangsa.

Suspek kelihatan berlari ke arah kenderaan dan masuk semula ke kompleks latihan itu sebelum melepaskan tembakan.

Ia menyebabkan orang ramai di kawasan itu, lari bertempiaran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengesahkan sama ada ibu kanak-kanak itu akan menghadapi pertuduhan, walaupun senjata api itu dimiliki secara sah.

Sementara itu, Pop Warner dalam satu kenyataan kepada Fox News Digital menyatakan kecewa dengan insiden itu.

Katanya, pihaknya akan memberikan sepenuh kerjasama untuk membantu pihak berkuasa menyiasat perkara itu, selain menambah baik aspek keselamatan pasukannya.

"Keutamaan kami memastikan pemain lelaki dan perempuan dalam semua pasukan kami dilindungi dan berasa selamat menyertai sukan yang mereka gemari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 12:07 PM