REGGIE Mabry. FOTO Twitter
REGGIE Mabry. FOTO Twitter
Agensi

Washington: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menembak mati bapanya di rumah mereka di timur Orange County, bulan lalu, kata Syerif John Mina, pada Isnin.

Mina berkata, bapa kanak-kanak itu, Reggie Mabry, 26, ditemukan cedera di rumah itu, tengah hari 26 Mei lalu.

South China Morning Post melaporkan, kejadian itu disedari selepas timbalan syerif pergi ke rumah mangsa susulan panggilan kecemasan mengenai tembakan itu.

Isteri mangsa, Marie Ayala, 28, sedang melakukan pernafasan kecemasan ketika penyelamat tiba.

Mabry disahkan meninggal dunia di hospital dan timbalan syerif pada mulanya menganggap tembakan itu adalah bunuh diri, kata Mina dalam sidang akhbar.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar selepas anak pasangan itu yang berusia lima tahun memberitahu detektif, kanak-kanak berusia dua tahun itu melepaskan tembakan.

Seorang bayi berusia lima bulan juga berada di rumah ketika kejadian itu, kata Mina.

Penyiasat mendapati pasangan itu, kedua-duanya mempunyai rekod jenayah atas tuduhan pengabaian kanak-kanak dan dadah.

Pasangan itu didapati meninggalkan pistol secara mudah diakses di dalam beg, di mana kanak-kanak berusia dua tahun itu menemuinya, kata Mina.

Ayala dipenjarakan atas beberapa pertuduhan.

"Saya sudah tekankan, senjata api perlu disimpan di tempat selamat dan dijauhkan daripada tangan dan jauh daripada kanak-kanak pada setiap masa," kata Mina.

"Pemilik senjata api yang tidak menjaga senjata api mereka dengan betul boleh menyebabkan tragedi seperti ini berlaku di rumah mereka," katanya.

Selepas pembunuhan beramai-ramai di sekolah Texas, Biden berikrar mendesak peraturan senjata api pada 31 Mei 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 12:35 PM