SEDIAKAN makanan di rumah sekerap yang boleh dan makan bersama-sama dengan seisi keluarga.
SEDIAKAN makanan di rumah sekerap yang boleh dan makan bersama-sama dengan seisi keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


APABILA kanak-kanak berada di alam persekolahan, mereka akan menempuh pelbagai cabaran baharu.

Justeru, adalah penting untuk ibu bapa memastikan si kecil kesayangan sentiasa mendapat makanan berkhasiat bagi membantu mereka menghadapi cabaran alam persekolahan dengan lebih baik.

Menurut perkongsian info di portal rasmi MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia, kajian mendapati kanak-kanak yang mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dan seimbang akan menjalani hari lebih baik di sekolah.

Oleh itu, pemakanan kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh dan ada beberapa panduan yang disyorkan kepada ibu bapa.

Antaranya, sediakan makanan di rumah sekerap yang boleh dan makan bersama-sama seisi keluarga.

Hidangan yang disediakan di rumah lebih berkhasiat dan perancangan menu bijak dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga.

Namun, ketika merancang menu untuk anak, perkara berikut perlu dipatuhi iaitu mempelbagaikan sumber makanan dalam setiap hidangan supaya si kecil mendapat makanan berkhasiat dan seimbang.

Elakkan juga daripada menghidangkan makanan yang sama berulang kali dan sediakan menu sayur yang terdiri daripada pelbagai warna.

Anda juga boleh menyediakan makanan yang anak anda boleh makan dan jangan terlalu masam, masin atau pedas.

Selain itu, sebagai ibu, anda perlu merancang hidangan harian yang terdiri daripada tiga hidangan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Tidak lupa, dua hidangan snek ketika minum pagi dan minum petang untuk memastikan anak mendapat nutrien yang mencukupi setiap hari.

Hidangan utama dan snek perlu merangkumi makanan daripada lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan.

Makanan daripada kumpulan itu boleh dimasukkan sama ada dalam hidangan utama atau snek atau kedua-duanya.

Sebagai contoh, buah-buahan boleh dimasukkan dalam hidangan makanan tengah hari dan dijadikan snek ketika minum petang.

Sediakan juga hidangan utama yang mengandungi sumber bijirin, ikan, ayam, daging, telur, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Contohnya, nasi dihidangkan bersama ayam masak kicap, sup bayam dan buah tembikai.

Untuk hidangan snek yang lebih berkhasiat, anda boleh sediakan sandwic, roti bijirin penuh, jagung atau kacang rebus, buah-buahan, susu dan dadih.

Elakkan anak mengambil snek yang terlalu manis dan melekit seperti gula-gula yang boleh melekat pada gigi dan menyebabkan karies gigi.

Pengambilan snek yang tinggi kandungan garam seperti jeruk juga perlu dielakkan dan pastikan ia tidak diambil terlalu hampir dengan waktu makan utama.

Jangan lupa, didik anak mengenai kepentingan pengambilan snek yang berkhasiat dan awasi apa yang mereka makan di rumah mahupun di sekolah.

Dalam pada itu, waktu anak pergi dan pulang dari sekolah juga perlu diambil kira ketika merancang waktu makan anak.

Setiap pagi, pastikan anak mengambil sarapan untuk memberi mereka tenaga sebelum memulakan pembelajaran.

Ia penting dalam membantu meningkatkan tumpuan mereka ketika dalam kelas dan pastikan sarapan diambil sama ada di rumah ataupun di sekolah.

Untuk makan tengah hari pula, makanan boleh dihidangkan selepas mereka berehat sebentar kerana lazimnya kanak-kanak akan berasa letih selepas pulang dari sekolah.

Bagi anak yang bersekolah pada sesi petang, pastikan mereka makan sebelum ke sekolah untuk mendapat tenaga harian yang secukupnya.

Sementara itu, didik si kecil mengenai khasiat makanan yang dimakan dan ajar mereka supaya sentiasa membaca label untuk mengelakkan bahaya pengambilan lemak tepu, garam serta gula yang berlebihan.

Ibu bapa juga boleh memberi penerangan kepada anak mengenai iklan makanan yang kurang berkhasiat di televisyen.

Apa pun yang lebih penting, sebagai ibu bapa anda juga perlu mengamalkan pemakanan secara sihat supaya menjadi contoh terbaik buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:50 AM