PENGAMBILAN snek tiada kaitan langsung dengan masalah otak kurang cergas atau lambat belajar dalam kalangan kanak-kanak.
PENGAMBILAN snek tiada kaitan langsung dengan masalah otak kurang cergas atau lambat belajar dalam kalangan kanak-kanak.
AMBIL gula secara berpada.
AMBIL gula secara berpada.
PIRAMID makanan.
PIRAMID makanan.
Hajahfarhana Tarmudi


Pernahkah anda terfikir dan beranggapan apabila kanak-kanak menikmati snek atau dikenali dengan ‘jajan’ boleh menyebabkan si kecil lambat belajar seperti yang tersebar atau dibaca di media sosial?

Jangan mudah terpedaya dengan maklumat yang salah terutama apabila ia diperoleh daripada sumber tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan yang bertauliah.

Menurut Pakar Diet Pusat Perubatan Tropicana Wong Xue Yan, pengambilan snek tiada kaitan langsung dengan masalah otak kurang cergas atau lambat belajar dalam kalangan kanak-kanak.

“Belum ada bukti yang menunjukkan makan snek boleh menjejaskan otak. Namun, ia mungkin boleh berlaku secara tidak langsung jika snek kurang sihat diambil secara berlebihan hingga menimbulkan masalah obes dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini kerana kebiasaannya snek kurang sihat mengandungi jumlah lemak yang tinggi sekali gus meningkatkan risiko obesiti. Apabila obes, pergerakan menjadi lambat atau menyebabkan mereka malas bergerak.

“Ada sesetengahnya juga kurang bergaul dengan rakan sebaya dan tidak aktif melakukan aktiviti fizikal. Jika kurang berlaku interaksi sesama manusia di sekelilingnya, ia boleh menjejaskan kecergasan serta pembangunan otak kanak-kanak itu sendiri kerana kemahiran bercakap atau berkomunikasi tidak berlaku dengan baik,” katanya.

Malah, obesiti mampu meningkatkan risiko penyakit lain seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser. Justeru, ibu bapa perlu memantau atau menyediakan makanan yang diambil oleh anak dengan memastikan khasiatnya agar terhindar daripada masalah obes.

Pilihan snek sihat

Ada banyak jenis snek yang berada di pasaran sama ada ia berkhasiat, mahupun kurang sihat. Antara snek sihat ialah salad, sandwic, yogurt, susu dan jus buah.

Snek menjadi kurang sihat apabila ia mengandungi lemak, gula dan garam dalam jumlah yang tinggi misalnya makanan ringan, makanan segera serta pencuci mulut.

Namun, snek kurang sihat ini boleh diubah menjadi makanan yang sihat melalui kaedah pengambilannya. Selain itu, kehadiran pengawet dan pewarna dalam snek kurang sihat juga tidak bagus kepada badan.

Ini kerana setiap individu memiliki tindak balas berbeza terhadap makanan termasuk kanak-kanak kerana ada kalanya ia menyebabkan alahan, bergantung kepada penerimaan tubuh masing-masing.

“Jika kanak-kanak menginginkan snek, disarankan mengambilnya sekali-sekala dalam kuantiti sedikit, bukan secara berlebihan jika snek berkenaan dalam kategori kurang sihat.

“Perlu kita faham, kedudukan paling atas atau perlu diambil dalam jumlah sedikit dalam piramid makanan ialah makanan tinggi lemak, gula dan garam,” katanya.

Pengambilan secara berlebihan akan meningkatkan risiko terhadap masalah obes sekali gus membabitkan sakit kronik seperti penyakit jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi jika ia tidak dikawal dengan baik.

Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa sangat penting untuk memperkenalkan anak mereka dengan pilihan snek sihat berbanding kurang sihat.

Bagi menggalakkan pengambilannya, sediakan bekalan daripada snek sihat. Sekurang-kurangnya, ia juga boleh dijadikan medium pembelajaran dan didikan kepada anak mengenai pilihan snek sihat berbanding kurang sihat bagi menjamin kesihatan mereka sejak awal.

“Didik anak sejak kecil mengenai makanan yang berkhasiat dan bahan yang perlu diambil dalam jumlah sedikit misalnya, gula. Kebiasaanya, pada label makanan kehadiran gula boleh dikenal pasti melalui penggunaan sirap mapel, gula, fruktosa, sukrosa, dekstros, kristal tebu, sirap jagung juga molasses.

“Tiada panduan dalam pengambilan jumlah gula dan garam untuk kanak-kanak. Namun, ibu bapa dinasihatkan agar mengurangkan jumlah pengambilannya dan tidak memperkenalkan terlalu awal.

“Bagi bayi berusia enam bulan yang baru dikenalkan dengan makanan pejal, sebaik-baiknya mulakan menambah manisan menggunakan bahan semula jadi seperti buah,” katanya.

Selain gula, garam juga tidak boleh diambil secara berlebihan. Selain snek kurang sihat, makanan yang diproses, dalam tin, segera, sos dan jeruk perlu dikurangkan pengambilannya.

Nama lain yang menunjukkan snek yang dibeli mengandungi garam ialah sodium, monosodium glutamate (MSG) dan garam. Bagi anak yang memilih makanan pula, ibu bapa perlu ajak mereka untuk menyediakan, memasak atau makan bersama-sama bagi mendidik mereka mengenai khasiat bahan yang digunakan dalam masakan.

Sebaiknya, beri mereka peluang dan kebebasan memilih jenis sayur, buah atau makanan yang digemari asalkan ia berkhasiat serta mampu memenuhi keperluan tumbesaran anak berjalan lancar.

“Jika anak suka menikmati snek kurang sihat, tidak perlu menghalang sebaliknya kita perlu bijak mengubahnya menjadi hidangan sihat misalnya aiskrim. Ibu bapa boleh menggantikan aiskrim dengan bahan berkhasiat seperti yogurt dan buah untuk menjadikannya lebih enak selain sihat.

“Bagi anak yang suka makan burger, sediakan kepingan daging atau ayam daripada bahan segar di samping menggunakan garam atau gula dalam kuantiti sedikit,” katanya.

Kebanyakan snek yang dijual di pasaran sudah mendapat kelulusan dari segi penggunaan bahan di dalamnya dan sepatutnya ia tidak perlu dibimbangkan melainkan jika ia diambil secara berlebihan.

Ada kalanya snek disyorkan kepada kanak-kanak kerana memerlukan tenaga dan makanan yang lebih membantu dalam tumbesaran, membina tulang dan otot mereka, namun diambil dengan kaedah sihat.

Ujarnya, setiap makanan mengandungi nutrisi berbeza dan sebaik-baiknya diambil dengan jenis yang pelbagai untuk memenuhi keperluan agar dapat berfungsi dengan baik.

Jelasnya, memang ada jenis makanan yang boleh membantu memberi kecergasan kepada otak seperti DHA dan asid folik. Namun, ia disarankan sebaiknya diambil sebelum atau ketika mengandung untuk perkembangan janin dan otaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 12:16 PM