PEMBEDAHAN itu dilakukan pada usia kehamilan 34 minggu dan dua hari.  FOTO Agensi
PEMBEDAHAN itu dilakukan pada usia kehamilan 34 minggu dan dua hari. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Sepasukan pakar perubatan di Amerika Syarikat berjaya menyelamatkan bayi dalam kandungan ibunya daripada gangguan genetik yang membawa maut menerusi pembedahan otak pertama seumpamanya.

Pasukan di Hospital Kanak-kanak Boston dan Hospital Besar Massachusetts menjalankan prosedur pada janin, memotong rahim dan tengkorak bayi sebelum akhirnya membuat pembedahan pada otak yang sedang berkembang.

Pembedahan, yang dilakukan pada usia kehamilan 34 minggu dan dua hari itu didokumentasikan dalam kajian kes yang diterbitkan dalam jurnal Stroke, Persatuan Jantung Amerika, Khamis lalu.

Bayi itu, Denver Coleman, dilahirkan dua hari selepas pembedahan tanpa kecacatan kelahiran dan komplikasi terhad dengan berat 1.9 kilogram.

Tiga minggu selepas kelahiran, bayi itu tidak mempunyai tanda-tanda aliran darah yang tidak normal yang ditunjukkan dalam imbasan pengimejan resonans magnet (MRI) dan tidak memerlukan bantuan kardiovaskular.

Penyelidik dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) sedang bekerjasama untuk menguji keselamatan dan keberkesanan pembedahan itu dengan harapan dapat memperluaskannya.

Bayi bertuah itu adalah cahaya mata kepada Derek dan Kenyatta Coleman, masing-masing berusia 39 tahun, yang teruja selepas mengetahui mereka bakal menerima cahaya mata selepas berkahwin selama tujuh tahun.

Kenyatta berkata, pada mulanya ujian kehamilan menunjukkan kandungannya sihat, berisiko rendah dan tiada luar biasa.

Namun katanya, selepas menjalani ujian ultrabunyi pada minggu ke-30, doktor memberitahu ada sesuatu tidak kena pada otak bayi dan jantungnya juga membesar sebelum didiagnosis dengan kecacatan salur darah galen (VOGM).

"Kami memutuskan untuk menyertai percubaan klinikal rawatan tanpa mengira risiko yang mungkin berlaku, seperti kelahiran pramatang atau pendarahan otak untuk bayi.

"Pembedahan dilakukan pada usia kehamilan 34 minggu dan dua hari.

"Ketika dia lahir, saya tak dapat gambarkan perasaan saya kerana mendengar tangisanya buat kali pertama dan dapat menatapnya," katanya.

Menurut Hospital Kanak-Kanak Boston, VOGM ialah keabnormalan saluran darah yang jarang berlaku dalam otak di mana arteri yang rosak dalam otak bersambung terus dengan urat dan bukannya kapilari sekali gus melambatkan aliran darah dan darah bertekanan tinggi boleh sampai ke otak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 11:42 AM