ANTARA hadirin yang mendengar penerangan pada forum.
ANTARA hadirin yang mendengar penerangan pada forum.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Usianya baru mencecah dua tahun tiga bulan, namun Nur Fatihah Najiha Mohd Isa sudah 12 kali membuat pembedahan di kepalanya akibat hidrosefalus (kepala besar).

Pembedahan dilakukan sebelum ini termasuk mengeluarkan cecair dan nanah yang tersumbat di dalam kepala Fatihah. Menurut ibunya Nurul Wahida Hasbullah, 23, sebelum ini saiz kepala Fatihah berukuran 60 sentimeter, namun kini selepas pembedahan ia mengecil kepada 51 sentimeter dalam masa setahun.

"Alhamdulillah, keadaan Fatihah semakin hari semakin baik, malah dia langsung tidak macam orang sakit. Saya bersyukur dan lega dengan perubahan dan ting­kah laku Fatihah.

"Sekurang-kurangnya saya tidak berasa risau sa­ngat apabila melihat dia boleh berlari dan bermain seperti kanak-kanak normal lain dan berharap dia akan terus menunjukkan per­kembangan positif," katanya ketika ditemui pada Forum Hidrosefalus dan Craniosynostosis Dalam Kalangan Kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Ditanya pengalaman serta detik awal kehamilan sehingga saat melahirkan Fatihah, Nurul Wahida berkata, pada awal kehamilan dia mengalami alahan teruk sehingga kandungan berusia tujuh bulan.

"Saya mengalami alahan teruk dan tidak boleh buat kerja langsung. Bayangkan saya tidak boleh berdiri sendiri sehingga perlu dipapah untuk berjalan, malah untuk mandi pun tidak berdaya.

"Melihat keadaan saya kritikal, suami membawa ke hospital dan saya ditahan. Doktor memasukkan berpuluh botol air dalam badan namun masih tidak menunjukkan perubahan. Akhirnya doktor memasukkan dua pain darah dan ketika itu keadaan saya stabil," katanya.

Menurut Nurul Wahida yang juga suri rumah, pada awal kelahiran, keadaan Fatihah seperti kanak-kanak lain dan kepalanya juga bersaiz normal serta tidak besar.

"Fatihah dilahirkan menerusi pembedahan kerana dia berkeadaan songsang. Selepas dua bulan, baru saya perasan saiz kepalanya sedikit besar namun untuk me­nyedapkan hati, saya hanya berdiam diri dan tidak memberitahu sesiapa. Wajah Fatihah juga seakan-akan Flowerhorn iaitu mata naik ke atas dan dahinya jendul.

"Selepas itu, ibu turut menyedari kepala Fatihah besar dan dia mengesyorkan saya membawanya ke hospital. Selepas membuat pemeriksaan, doktor menyatakan ada yang tidak kena dan Fatihah seterusnya dirujuk ke HKL untuk membuat rawatan susulan," katanya.

Selepas membuat beberapa ujian termasuk MRI dan CT Scan, doktor mengesahkan Fatihah menghidap hidrosefalus dan perlu dibedah segera. Dalam masa sama, Wahidah dan keluarga tidak hanya berserah pada perubatan moden, sebaliknya turut berikhtiar melalui perubatan tradisional.

"Syukur, dengan usaha berterusan, saya nampak perubahan yang sangat memberangsangkan pada Fatihah. Saya percaya perubatan tradisional menggunakan ayat suci al-Quran sangat membantu selain rawatan di hospital.

"Harapan saya supaya Fatihah membesar seperti kanak-kanak biasa dan menjadi orang berjaya satu hari nanti. Kepada ibu bapa yang mempunyai anak seperti saya, teruskan usaha dan jangan putus asa. Setiap penyakit ada ubat kecuali mati. Sabar adalah kunci paling utama," katanya.

Sementara itu, Pakar Neurosurgeri HKL, Dr Siti Suriyati Buang berkata, hidrosefalus ialah penambahan jumlah cecair serebrospina (CSF) yang tidak normal di dalam ventrikel otak.

Cecair ini sebenarnya melindungi, memberi khasiat dan membersihkan otak dan saraf tunjang. Ia terhasil setiap hari di dalam ventrikel otak tetapi jika berlebihan atau tersumbat, boleh menyebabkan hidrosefalus.

"Dianggarkan tiga hingga empat daripada 1,000 bayi dilahirkan sebagai hidrosefalus kongenital dan hampir 80 hingga 90 peratus bayi yang lahir dengan keadaan kecacatan tiub neural berisiko menghidap hidrosefalus.

"Hidrosefalus kongenital berpunca daripada ketidakseimbangan di antara CSF yang dihasilkan di dalam otak dan kebolehannya untuk diserap kembali.

"Lazimnya, CSF mengalir melalui dan keluar dari bahagian otak yang diberi nama ventrikel dan kemudian mengelilingi otak serta saraf tunjang.

"Pada peringkat ini, CSF memberi khasiat dan bertindak sebagai pelindung. Ia kemudian diserap oleh sekeping tisu nipis yang mengelilingi otak dan saraf tunjang. Selain kongenital, satu lagi kategori hidrosefalus ialah perolehan yang terjadi selepas kelahiran dan bukan sebab keturunan," katanya.

Hidrosefalus berasal daripada perkataan Yunani iaitu 'hidro' yang bermakna air dan sefalus (chephalus) yang bermaksud kepala. Ia bukan hanya berlaku kepada bayi, malah orang dewasa.

Sehingga kini penyebab utama penyakit ini belum diketahui tetapi ia mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan genetik atau gang­guan ketika perkembangan kanak-kanak.

Gejala

Gejala hidrosefalus berbeza mengikut umur, peringkat penyakit dan perbezaan tahap toleran (ketahanan) setiap individu. Keupayaan ketahanan bayi terhadap peningkatan tekanan cecair dan pembesaran ventrikel tidak seperti orang dewasa. Ini kerana tengkorak kanak-kanak boleh mengembang bersesuaian dengan peningkatan tekanan cecair.

Pada bayi contohnya, anda boleh mengesan bahagian ubun yang kadangkala membonjol dan lebih besar berbanding biasa. Ia menandakan ketika itu, tekanan cecair serebrospina tinggi.

Pada masa lain, ia kelihatan surut dan normal. Jadi, bayi dan kanak-kanak dapat menangani peningkatan tekanan cecair dengan lebih baik kerana ubun mereka belum tertutup sepenuhnya.

Gejala hidrosefalus pada bayi ialah:

> Pertambahan ukur lilit kepala yang cepat atau kepala mereka kelihatan lebih besar

> Muntah

> Sukar tidur

> Meragam dan tidak selesa

> Pergerakan mata menghala ke bawah

> Sawan

Gejala pada kanak-kanak lebih besar dan orang dewasa berbeza kerana tengkorak mereka tidak boleh mengembang. Ini menyebabkan mereka mengalami masalah seperti:

> Sakit kepala

> Mual

> Muntah

> Papilledema (bengkak pada cakera optik iaitu pada saraf optik)

> Penglihatan menjadi kabur atau berganda

> Mata mengarah ke bawah

> Mengalami kesukaran untuk keseimbangan

> Sukar menumpukan perhatian

> Gaya jalan terganggu

> Sukar kawal kencing

> Letih

> Pening

> Tidak selesa

> Perkembangan kanak-kanak terjejas

> Hilang ingatan

Jenis Rawatan:

Rawatan Shunt

Shunt ialah tiub khas yang dimasukkan ke otak (sistem ventrikel) dan mengalihkan pengaliran cecair serebrospinal ke bahagian lain badan seperti jantung dan kaviti peritoneal. Shunt diperbuat daripada plastik khas yang lembut dan mudah lentur.

Rawatan shunt hanya dilakukan pakar bedah otak dan biasanya tidak lama. Pesakit dibawa ke bilik bedah dan diberi bius sepenuhnya. Kulit kepala dan bahagian abdomen akan dicuci dengan antiseptik.

Torehan kecil dilakukan di kulit kepala, diikuti dengan tebukan lubang kecil di tengkorak. Pembedahan serupa juga akan dilakukan di abdomen di mana satu lubang kecil akan ditebuk.

Satu hujung shunt akan dimasukkan ke ventrikel melalui lubang kecil di tengkorak. Kemudian shunt akan ditolak dan dimasukkan di bawah kulit sehingga ke lubang di abdomen di mana hujung shunt akan ditempatkan di ruang peritoneal.

Komplikasi:

Di antara komplikasi shunt yang sering dilihat ialah:

> Shunt gagal berfungsi kerana tersumbat. Ini boleh berlaku sama ada dalam ventrikel atau tiub (shunt) itu sendiri atau dalam ruangan peritoneal. Antara penyebabnya ialah darah beku dan rangkaian choroids.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:12 AM