PENJARA tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba. FOTO fail AFP
PENJARA tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Selepas lebih dua dekad, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pembebasan jurutera Arab Saudi ditahan di penjara tentera Guantanamo yang menjadi suspek dalam serangan Al-Qaeda di New York, pada 11 September 2001.

Ghassan Al Sharbi, 48, yang belum pernah didakwa, sebelum ini ditahan di Faisalabad, Pakistan, bersama sekutu Al-Qaeda pada Mac 2002.

Dia menjadi sasaran kerana pernah menjadi penuntut universiti aeronautik di Arizona dan belajar di sekolah penerbangan bersama dengan dua penjenayah Al-Qaeda dalam plot serangan 11 September.

Tentera AS mempertimbangkan pendakwaan terhadap Ghassan dan beberapa yang lain tetapi menggugurkannya pada 2008.

Bagaimanapun, tentera terus menahannya sebagai pejuang musuh di penjara tentera di pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Pada Februari 2022, Lembaga Kajian Berkala Pentagon, yang berurusan dengan petisyen pelepasan Guantanamo, memutuskan penduduk berasal dari Jeddah, Arab Saudi itu, boleh dibebaskan.

Katanya, Ghassan tidak mempunyai jawatan kepimpinan atau fasilitator dalam Al-Qaeda dan akur dengan arahan ketika dalam tahanan.

Hasil pemeriksaan juga mendapati Ghassan mempunyai isu kesihatan fizikal dan mental yang tidak dinyatakan.

Keputusan pada 2022 menunjukkan Ghassan boleh menyertai program pemulihan Arab Saudi untuk pejuang jihad radikal sekali gus cuba mengubah pandangan mereka secara perlahan sambil memastikan mereka dipantau apabila kembali kepada masyarakat.

Lembaga semakan dalam satu kenyataan pada Rabu mengesyorkan Ghassan dipindahkan ke tahanan di Arab Saudi, cuma ia tertakluk kepada pelaksanaan satu set langkah keselamatan yang komprehensif termasuk pemantauan, sekatan perjalanan dan perkongsian maklumat berterusan.

Berikutan pembebasan Ghassan, 31 tahanan kekal di Guantanamo, namun angka itu jauh daripada jumlah tertinggi iaitu hampir 800 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 1:18 PM