SAIFULLAH Paracha. FOTO AP
SAIFULLAH Paracha. FOTO AP
Agensi

Washington: Banduan tertua di Teluk Guantanamo dibebaskan ke negara asalnya, Pakistan, selepas hampir dua dekad menjadi penghuni penjara di situ.

Saifullah Paracha, 75, ditahan dua tahun selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS), dan dituduh sebagai penyokong al-Qaeda.

BBC melaporkan, Saifullah disyaki membiayai kumpulan jihad itu tetapi kekal menyatakan tidak bersalah dan tidak pernah didakwa.

Penjara tentera AS di Cuba pernah menempatkan ratusan suspek militan yang ditangkap berikutan serangan itu.

Pembebasan Saifullah disahkan menerusi satu kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

"Saifullah Paracha, seorang warga Pakistan yang ditahan di Teluk Guantanamo dibebaskan dan tiba di Pakistan pada 29 Oktober lalu," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, peguam Saifullah, Clive Stafford-Smith mempersoalkan tempoh masa yang lama sehingga pembebasan anak guamnya.

Saifullah ditangkap pada Julai 2003 di Thailand berikutan operasi dilakukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Saifullah yang belajar di AS dituduh oleh pihak berkuasa AS mempunyai hubungan dengan beberapa tokoh paling kanan kumpulan itu termasuk ketuanya, Osama Laden dan Khalid Sheikh Mohammed.

Selepas 14 bulan di penjara tentera AS di Bagram, Afghanistan, dia dipindahkan ke Teluk Guantanamo.

Penjara tentera AS yang dirahsiakan digunakan untuk menahan apa yang disifatkan oleh AS sebagai pejuang melanggar undang-undang yang ditangkap semasa perang melawan keganasan.

Presiden AS Joe Biden berada di bawah tekanan untuk 'membersihkan' tahanan yang tidak didakwa dan meneruskan perbicaraan mereka yang dituduh mempunyai hubungan langsung dengan al-Qaeda.

Pentadbirannya meluluskan pembebasan Saifullah pada tahun lalu bersama seorang lagi warga Pakistan, Abdul Rabbani, 55, dan warga Yaman, Uthman Abdul al-Rahim Uthman, 41.

Masih terdapat 35 orang yang ditahan di Teluk Guantanamo termasuk Khalid Mohammed yang dinamakan sebagai arkitek utama serangan 9/11 dalam Laporan Suruhanjaya 9/11.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:16 PM