TENTERA yang setia kepada pemberontak Houthi berbaris dalam satu perhimpunan memperingati ulang tahun kemerdekaan Yaman Selatan dari penjajahan Britain di Sanaa, kelmarin.
TENTERA yang setia kepada pemberontak Houthi berbaris dalam satu perhimpunan memperingati ulang tahun kemerdekaan Yaman Selatan dari penjajahan Britain di Sanaa, kelmarin.
Agensi

Dubai: Rangkaian al-Qaeda di Yaman semalam mengancam kerajaan Saudi berhubung rancangan negara itu untuk memancung beramai-ramai tahanan yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan, termasuk anggota kumpulan itu.

Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), antara cawangan paling ganas rangkaian militan itu berkata, ia menyedari hasrat Saudi untuk membunuh anggotanya di penjara negara itu dan berikrar melancarkan serangan sebagai tindak balas.

“Kami bersumpah kepada Tuhan, darah kami akan tumpah sebelum darah saudara kami dipenjara Arab Saudi mengalir dan darah kami tidak akan sempat kering sebelum kami menumpahkan darah tentera Al-Saud.

“Hidup kami tidak senang selagi kami tidak memenggal pemerintah Saudi,” kata kumpulan itu dalam kenyataan menerusi Twitter.

Media Saudi melaporkan minggu lalu, pihak berkuasa negara itu merancang memancung lebih 50 tahanan yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah keganasan.

Kerajaan Saudi berdepan dengan serangan militan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu dengan kumpulan Negara Islam (IS) yang berpusat di Iraq dan Syria mendakwa bertanggungjawab melakukan beberapa serangan di masjid di negara itu.

Awal tahun ini, dua lelaki warga Chad dipancung selepas didapati terbabit dalam serangan al-Qaeda di negara itu.

Arab Saudi memancung sekurang-kurangnya 151 orang tahun ini, kebanyakannya warga asing yang didapati bersalah berkait dengan dadah.

Kali terakhir negara itu melakukan pemancungan beramai-ramai ialah kerana kesalahan keselamatan selepas sekumpulan militan cuba menawan Masjidil Haram di Makkah pada 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 6:45 AM