GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Teluk Guantanamo: Perbicaraan lima individu yang terbabit dengan serangan 11 September 2001 (9/11) disambung semula di sini sejak Selasa lalu.

Pertuduhan asal diumumkan pada Februari 2008 namun kes itu ditarik balik dan difailkan semula sebelum prosiding pertama berlangsung pada 5 Mei 2012.

Sejak itu, lebih 12 prosiding diadakan namun semuanya masih pada peringkat praperbicaraan.

Kini, ia kembali disambung selepas terpaksa dihentikan selama 17 bulan akibat penularan pandemik Covid-19.

Kelima-lima defendan didakwa atas pertuduhan konspirasi, keganasan dan pembunuhan 2,976 individu dalam tragedi berkenaan.

Sabit kesalahan, ia membawa hukuman mati.

Berikut lima defendan dalam kes berkenaan:


1. Khalid Sheikh Mohammed, 56.

Digelar KSM, lelaki warga Pakistan yang dibesarkan di Kuwait itu perancang kepada serangan 9/11.

Pada 1996, dia dipercayai mencadangkan untuk membuatkan pesawat terhempas di Amerika Syarikat (AS) kepada pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Khalid yang juga graduan universiti di AS dan pernah bekerja dengan Kerajaan Qatar pada awal 1990-an, memulakan plot itu dengan anak saudaranya, Ramzi Yousef.

Ramzi adalah individu yang meletupkan bom di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, pada 1993.

Pada 1994, kedua-duanya mahu meletupkan pesawat yang dalam penebangan dari Filipina ke AS. Percubaan pertama itu gagal dan Ramzi ditangkap di Pakistan dan diektradisi ke AS.

Selepas menerima kelulusan daripada Osama, Khalid diberikan tanggungjawab dalam plot serangan 9/11.

Lelaki itu ditahan di Rawalpindi, Pakistan, pada Mac 2003 dan dibawa ke 'tapak hitam' Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan dan kemudian ke Poland untuk disoal siasat.

Dia dipercayai dilemaskan dengan air sebanyak 183 kali dalam masa empat minggu dan diseksa dengan pelbagai teknik siasatan lain.

Pada September 2006, dia dibawa ke Teluk Guantanamo. Setahun kemudian, dia memberitahu satu sesi tertutup dia turut bertanggungjawab dengan insiden pengeboman dikaitkan dengan al-Qaeda di Bali dan Kenya.

Selain itu, dia mengaku bertanggungjawab terbabit dengan cubaan meletupkan pesawat AS yang gagal pada 2001 dan pembunuhan wartawan AS, Daniel Pearl.


2. Ramzi al-Shibh, 49.

Dia mendapat latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada 1999, bersama-sama beberapa perampas lain yang terbabit dalam serangan 9/11.

Lelaki itu kemudian menjadi sebahagian daripada Sel Hamburg yang turut membabitkan penyerang utama, Mohammad Atta dan dua yang lain.

Namun, lelaki Yaman itu gagal untuk mendapatkan visa AS untuk mengambil bahagian dalam serangan 9/11.

Jadi, dia membantu untuk mengkoordinasikan hubungan antara sel itu dengan Al-Qaeda.

Dia ditangkap di Karachi, Pakistan pada 11 September 2002. Untuk tempoh empat tahun berikutnya, lelaki itu dibawa ke' 'tapak hitam' CIA dan didera dengan pelbagai cara.

Ramzi dibawa ke Teluk Guantanamo pada September 2006.

Peguam kepada lelaki itu berkata, anak guamnya akan terus menderita akibat kesan penderaan dan kerajaan juga sudah melabelkannya sebagai psikotik.


3,Walid Attash, 43.

Walid, digelar sebagai leftenan kanan di Al-Qaeda yang membantu Khalid dalam merancang serangan 9/11 termasuk plot lain.

Lelaki Yaman itu dikatakan mengembara ke Afghanistan dan Tajikistan pada 1990-an untuk melawan Soviet Union.

Dia hilang kaki kanan ketika dalam pertempuran di Afghanistan, pada 1996.

Pada 1999, dia mengetuai kursus tempur di sebuah kem latihan Al-Qaeda yang turut membabitkan perampas lain.

Menjelang 11 September, dia menaiki pesawat AS di Asia Tenggara untuk menguji sistem keselamatan, dan kebarangkalian untuk merampas dan membuatkannya terhempas.

Dia juga dikatakan mendapatkan bahan letupan untuk digunakan pada serangan berani mati di kapal pemusnah misil, USS Cole, pada Oktober 2000.

Dia mempunyai adik lelaki yang turut ditahan di penjara di Teluk Guantanamo, yang tidak didakwa atau dikaitkan langsung dengan serangan 9/11.


4. Ammar al-Baluchi, 44.

Lelaki warga Pakistan ini berasal dari Kuwait. Dia anak saudara Khalid.

Dia didakwa mempersiapkan perampas dalam mengajar mereka dengan gaya hidup Barat.

Selain itu, dia membantu rancangan perjalanan dan memindahkan wang untuk operasi berkenaan. Lelaki itu ditangkap di Rawalpindi, Pakistan, pada April 2003.

Dia dikatakan dikenakan pelbagai jenis penderaan oleh CIA, dan ditahan oleh agensi itu untuk tempoh 40 bulan, sebelum dihantar ke Teluk Guantanamo.

Peguamnya berkata, lelaki itu sering dibaling ke dinding menyebabkan anak guamnya itu mengalami kerosakan otak.


5. Mustafa al-Hawsawi, 53.

Lelaki warga Arab Saudi ini didakwa membantu perampas serangan 9/11 dengan mengaturkan perjalanan dan memindahkan wang untuk mereka, bersama-sama dengan Ammar.

Dia ditahan di Rawalpindi, Pakistan pada Mac 2003.

Lelaki ini juga menghadapi pelbagai jenis penderaan dan dihantar ke 'tapak hitam' sebelum dibawa ke Teluk Guantanamo, pada September 2006.

Menurut peguamnya, anak guamnya itu mengalami kerosakan pada dubur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:01 AM