FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Washington: Laporan persekutuan mendedahkan seorang individu maut dalam setiap lima minit di Amerika Syarikat (AS), akibat menggunakan dadah dengan dos berlebihan.

Portal NDTV melaporkan, terbaru, bahan dikenali sebagai Xylazine, atau Tranq dikatakan amat memudaratkan dan dikesan di bandar utama di seluruh negara.

Majalah Time melaporkan, Xylazine sebenarnya adalah ubat penenang haiwan yang semakin digunakan sebagai agen pemotong sintetik untuk opioid seperti heroin.

Agensi berita itu dalam satu laporan selanjutnya berkata, ia mendapati Xylazine 'muncul' di bandar-bandar di seluruh negara.

Menurut Sky News, 'Tranq Dope' adalah campuran fentanyl, opioid, dan ubat veterinar iaitu Xylazine. Ia dijual di jalanan dengan hanya beberapa dolar setiap beg.

Pihak berkuasa kesihatan awam khuatir dengan penyebaran dadah baharu itu dan bimbang kesan parut yang teruk pada individu yang menggunakannya.

Ia menyebabkan individu berkenaan tidak ubah seperti zombie atau 'mayat hidup'.

Sam, memberitahu Sky News yang dia terjebak dengan pengambilan Tranq sejak berusia 14 tahun dan keluar masuk hospital selama bertahun-tahun bagi menjalani rawatan.

Menurut The New York Post, Xylazine mendorong simptom seperti sedatif, mengantuk berlebihan dan masalah pernafasan, serta kudis yang boleh menjadi serius dan merebak dengan cepat.

Hospital jarang mengujinya dengan ujian toksikologi biasa kerana tranq tidak diklasifikasikan sebagai bahan kawalan untuk manusia atau haiwan.

Jadi, ia menimbulkan masalah kerana bahan itu tidak dianggap seperti dadah lain di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 11:31 AM