Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang Penyelia Jururawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II di sini, yang meninggal dunia akibat masalah mati otak, memberi kehidupan baharu kepada lima pesakit menerusi beberapa organnya yang didermakan, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata, Allahyarhamah Sulimah Gilong, 59, yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2015, mendermakan sepasang buah pinggang, hati dan kornea.

Beliau berkata, hasrat murni arwah untuk menjadi penderma organ selepas kematian disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya.

"Pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarhamah dapat menyelamatkan nyawa tiga orang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua orang pesakit yang lain.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan," katanya.

Dr Asits berkata, pendermaan organ Allayarhamah Sulimah dilakukan di HQE II, menjadikannya kes kelima pendermaan organ di Sabah bagi 2023, setakat ini.

Katanya, ia juga adalah kes pendermaan pelbagai organ dan tisu yang pertama di Sabah bagi tahun ini.

"Penderma organ dan tisu ini adalah seorang Penyelia Jururawat yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia selama 34 tahun sejak 1989.

"Tempat bertugas beliau yang terakhir adalah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth. Beliau adalah seorang jururawat yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit.

"Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya. Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya.

Sementara itu, Dr Asits berkata, tindakan murni Allahyarhamah Sulimah mengikrarkan diri sebagai penderma organ wajar dijadikan inspirasi dan teladan orang ramai.

Beliau turut menyifatkan arwah sebagai seorang jururawat yang menabur khidmat bakti semasa hayatnya dan terus berbudi setelah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 10:01 AM