KELUARGA melawat Jash ketika dia dirawat di hospital. Foto TOI
KELUARGA melawat Jash ketika dia dirawat di hospital. Foto TOI
Agensi

Gujarat: Budak lelaki dua tahun di Surat di sini, menjadi penderma organ paling muda yang berjaya menyelamatkan tujuh nyawa menerusi penyerahan pelbagai organ dalam badannya.

Jash Oza disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu selepas jatuh dari balkoni tingkat dua rumah jirannya di Shaanti Palace, Bhatar pada 9 Disember lalu. Doktor mengisytihar dia mati otak susulan kecederaan serius dialami di kepala.

Ibu bapanya, Sanjeev Oza dan Arachana yang bersedih dengan kehilangan mengejut itu bagaimanapun bersetuju untuk mendermakan organ Jash bagi tujuan murni atas nama anak mereka.

Menurut Nilesh Mandlewala, pengasas Donate Life iaitu organisasi yang menggalakkan pendermaan organ, keluarga itu menderma jantung, hati, paru-paru, kedua-dua buah pinggang dan mata anak mereka.

Jantung dan paru-paru Jash segera dihantar ke Chennai dengan penerbangan selama 160 minit untuk dua pesakit kanak-kanak berusia empat tahun dari Rusia dan Ukraine yang dirawat di Hospital MGM.

"Keluarga itu kecewa dan bersedih apabila doktor mengesahkan anak mereka yang mesra dipanggil Babu mati otak.

"Sanjeev yang aktif mewujudkan kesedaran derma organ dalam kalangan masyarakat membuat keputusan dalam keadaan sukar ketika itu untuk mendermakan organ anaknya.

"Ibu Jash pula memberitahu mahu melihat Jash 'hidup' menerusi ramai orang," kata Mandlewala yang dipetik Times of India (TOI).

Buah pinggang Jash dihantar menerusi pengangkutan darat ke Institut Penyelidikan Buah Pinggang Ahmedabad sejauh 265 kilometer (km) dengan satu daripadanya didermakan kepada budak perempuan 13 tahun dari Surendranagar manakala satu lagi kepada remaja perempuan 17 tahun.

Budak perempuan berusia dua tahun dari Bhavnagar pula dapat menjalani kehidupan baharu selepas menerima hati Jash.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 6:30 AM