DWI bermain dengan ular sawa peliharaannya sebelum dia dibelit haiwan berkenaan. FOTO Agensi
DWI bermain dengan ular sawa peliharaannya sebelum dia dibelit haiwan berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

TINDAKAN seorang lelaki meletakkan ular sawa peliharaannya di leher membawa padah apabila dia maut akibat dibelit haiwan berkenaan.

Jurucakap polis, Suyatno berkata, Dwi Setiawan juga pelukis jalanan disahkan mati kelmarin di Taman Sumenep di Menteng, Jakarta Tengah.

Katanya, saksi melihat Dwi melilit ular sepanjang empat meter itu di lehernya sebanyak dua kali sebelum mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Saksi itu pada mulanya menyangka Dwi bergurau tetapi apabila melihat mangsa tidak bergerak-gerak dia segera menghubungi ambulans.

“Apabila pasukan perubatan tiba di lokasi itu, mangsa disahkan meninggal dunia” katanya.

Menurutnya, ketika pemeriksaan awal dilakukan polis dapati hidung lelaki itu mengeluarkan darah tetapi tiada tanda mangsa dipukul.

Tambahnya, ular sawa itu ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Menurut saksi, Dwi memelihara banyak haiwan peliharaan tetapi ular sawa berkenaan paling disayangi mangsa yang sering dibawanya ketika melukis.

Lelaki itu juga sering memuat naik gambarnya bermain dengan ular sawa berkenaan di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 9:47 PM