ANTARA peserta yang menghadiri ceramah pendermaan organ.
ANTARA peserta yang menghadiri ceramah pendermaan organ.
Faizatul Farlin Farush Khan


Isu pendermaan organ dan tisu tubuh masih dianggap sesuatu yang asing, sukar diterima dan kurang difahami masyarakat di negara ini.

Masih ramai yang keliru, tidak memiliki maklumat tepat atau memandangnya serong dari sudut agama atau kepercayaan masing-masing. Ia dianggap ‘mencacatkan’, menyeksa, tidak menghormati atau mengganggu ketenteraman insan yang sudah tidak bernyawa.

Apatah lagi dalam keadaan sedih, keluarga kebiasaannya hanya mahu menyemadikan pemergian insan tersayang dalam cara terbaik dan tidak mahu mereka ‘diapa-apakan’.

Perasaan itu sudah tentu boleh difahami kita semua kerana apa saja yang kita mahukan untuk keluarga adalah menyayangi dan memberikan yang terbaik kepada mereka.

Biarpun masih ramai memandang negatif isu pendermaan organ, ia sebenarnya membawa banyak kebaikan terutama kepada pesakit yang amat memerlukan organ gantian bagi membantu mereka meneruskan hidup.

Ia adalah amalan memberi kebaikan kepada insan lain yang mampu diselamatkan serta menikmati kualiti hidup lebih baik sekiranya mereka diberi peluang kedua melalui organ didermakan.

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 dan 24 Jun 1970 membincangkan isu pemindahan organ secara khusus termasuk pemindahan jantung dan mata.

Persidangan terbabit memutuskan pemindahan jantung dan mata orang yang sudah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup dibenarkan iaitu harus dalam Islam.

Ia diputuskan selepas mengambil kira beberapa pertimbangan termasuk nyawa penerima dalam keadaan terdesak dan bergantung kepada pemindahan organ itu yang difikirkan akan berjaya.

Fatwa berkenaan juga menegaskan, kematian penderma perlu dipastikan terlebih dulu bagi pemindahan jantung selain tindakan wajar perlu diambil supaya tiada pembunuhan berlaku atau anggota tubuh diperdagangkan.

Pada masa sama, Fatwa Kebangsaan menetapkan kebenaran perlu diberi penderma organ sebelum berlaku kematian (bagi kematian biasa) atau kebenaran diperoleh daripada keluarga bagi kematian akibat kemalangan.

Organ yang boleh didermakan termasuk jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan pankreas, manakala tisu yang boleh dipindahkan bagi membantu pesakit lain seperti injap jantung, tulang, kulit dan kornea.

Menurut Eksekutif Pendidikan Awam Persatuan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Ernie Syafika Zamri, pendermaan organ bagi mereka yang sudah meninggal dunia hanya akan dibuat selepas kematian mereka disahkan oleh doktor.

Kebiasaannya, keluarga penderma organ enggan membenarkan doktor mengambil organ biarpun jika si mati sudah mendaftarkan diri mereka sebagai penderma organ, kemungkinan besar kerana mereka tidak mengetahuinya sebelum itu dan tidak mahu mayat ‘dicacatkan’.

“Sedangkan realitinya, perolehan organ atau tisu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh penderma. Jika tulang yang diambil, ia akan digantikan dengan tulang sintetik dan luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna. Ia akan dijalankan dengan hormat dan tertib.

“Penderma juga dapat beramal dan membantu orang lain yang memerlukan. Malah seorang penderma mampu membantu sekurang-kurangnya lapan pesakit yang memerlukan organ atau tisu baru,” katanya.

Ernie Syafika berkata demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai kepentingan menderma organ, di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesesuaian organ

Mereka yang berhasrat menjadi penderma organ juga seharusnya memaklumkan kepada keluarga dan menjelaskan niat mereka secara terperinci supaya keluarga memahami dan menyokongnya.

Katanya, bagi mereka mengalami keadaan ‘mati otak’, semua organ yang berada dalam keadaan baik boleh didermakan bagaimanapun, bagi yang mati secara mengejut di rumah, hanya kornea saja dapat diambil bagi tujuan pendermaan manakala mereka yang mati akibat serangan sakit jantung, hanya sesuai menderma bahagian tisu tubuh.

“Ini kerana masa memainkan peranan penting dalam memastikan organ berada dalam keadaan terbaik dan mampu membantu orang lain.

“Organ juga akan didermakan kepada pesakit berdasarkan keutamaan antaranya usia yang lebih muda kerana memiliki peluang lebih besar untuk pulih dan menjalani kehidupan lebih lama.

“Ada yang ingat jika sudah tua atau sakit, mereka tidak sesuai menjadi penderma. Ia tidak benar kerana selagi mereka tidak mempunyai penyakit serius dan organ masih berfungsi dengan baik, ia masih sesuai untuk didermakan,” katanya.

Ernie Syafika berkata, terdapat dua jenis penderma iaitu penderma masih hidup dan memiliki hubungan keluarga atau tidak dan penderma mati otak atau akibat sakit jantung.

Katanya, penderma dalam kalangan keluarga akan diberi keutamaan kerana keserasian lebih tinggi namun jika tidak ada atau tidak serasi, baru doktor akan melihat kepada senarai penderma dalam kalangan orang lain yang sesuai.

Mati otak ialah keadaan tiada peredaran darah dan oksigen, menyebabkan keseluruhan otak, termasuk batang otak atau bahagian yang mengawal aktiviti seperti pernafasan dan denyutan jantung tidak lagi berfungsi. Keadaan itu tidak dapat dipulihkan.

Antara puncanya ialah kecederaan pada otak, pendarahan otak yang teruk akibat saluran darah terputus, bengkak kerana jangkitan kuman, barah otak atau strok yang menyebabkan saluran darah tersekat akibat darah beku.

Biarpun diberi bantuan pernafasan, jantung akan berhenti akhirnya walaupun diberi sokongan dalam apa juga bentuk untuk terus berdenyut. Apabila jantung berhenti, ini secara langusng akan menyebabkan kerosakan pada organ dalaman tubuh.

Pada masa sama, Ernie Syafika berkata, pendermaan organ tidak akan melambatkan urusan pengebumian seseorang kerana ia adalah proses yang pantas sebelum penderma dibersihkan, dikafan dan diserahkan kepada waris secepat mungkin.

“Bagi yang berminat menjadi penderma, mereka perlu mengisi Borang Pendaftaran Pengikrar Penderma Organ dan Kad Pengikrar Penderma Organ untuk dihantar ke Pusat Sumber Transplan Negara, sementara kad pengikrar hendaklah disimpan dan dibawa bersama setiap masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:00 AM