PEMERHATI tetap Palestin di PBB, Riyad Mansour, berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di New York, Amerika Syarikat (AS). FOTO REUTERS
PEMERHATI tetap Palestin di PBB, Riyad Mansour, berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di New York, Amerika Syarikat (AS). FOTO REUTERS
AFP

New York: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat kecemasan semalam bagi membincangkan pergolakan di Gaza yang semakin memuncak.

Beberapa anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) membangkitkan kebimbangan berhubung ketegangan antara kumpulan pejuang jihad Islam dan Israel selepas tiga hari konflik berdarah.

Menerusi sidang video pada awal mesyuarat, utusan Asia Barat ke PBB, Tor Wennesland memberi amaran permusuhan berterusan akan mengundang kesan yang lebih buruk.

"Gencatan senjata yang dipersetujui sekarang adalah rapuh," kata beliau memberi amaran.

Duta Russia, Vasily Nebenzia juga menekankan UNSC amat bimbang dengan perkembangan semasa di Gaza, yang mungkin boleh menyebabkan penyambungan semula konfrontasi ketenteraan sepenuhnya.

Tambahnya, ketegangan sedia ada harus dibendung segera supaya ia tidak memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah teruk di Gaza.

Israel sejak Jumaat lalu melancarkan serangan berat dan mengebom kedudukan kumpulan pejuang jihad di Gaza, menyebabkan kumpulan jihad melancarkan lebih 1,000 roket sebagai tindak balas, menurut tentera Israel.

Keganasan yang berlaku di Gaza adalah pertempuran terburuk sejak perang 11 hari tahun lalu.

Gencatan senjata yang diterajui oleh Mesir dicapai kelmarin bagi tujuan menamatkan pertempuran sengit yang sudah mengorbankan 44 orang, termasuk 15 kanak-kanak dan mencederakan 360 orang di kawasan terbabit, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kedua-dua pihak mempunyai hak untuk bertindak balas sekiranya gencatan senjata tidak dipatuhi.

Menurut Wennesland, penilaian PBB terhadap keganasan yang sedang berlaku mendapati kira-kira 20 peratus daripada 1,100 roket yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Palestin jatuh di dalam Semenanjung Gaza.

Menjelang pertemuan UNSC itu, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan bagaimanapun mendakwa dan menggesa majlis antarabangsa itu meletakkan tanggungjawab penuh ke atas kumpulan Jihad Islam.

Beliau menuduh kumpulan yang didakwa disokong Iran itu menggunakan rakyat Gaza sebagai perisai manusia.

"Mesti ada satu keputusan dan satu hasil saja iaitu mengutuk (kumpulan Jihad Islam) melakukan jenayah perang kerana bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah.

"Mereka melancarkan roket ke atas penduduk Israel menggunakan rakyat Gaza sebagai perisai manusia. Ini jenayah perang berganda," katanya pada taklimat media.

Duta PBB, Linda Thomas-Greenfield, pula menyokong hak Israel untuk mempertahankan rakyatnya dari ancaman pengganas.

"Majlis (UNSC) ini sepatutnya dapat bersatu dan menolak tanpa syarat keganasan dilakukan kumpulan Jihad Islam Palestin, yang bertindak secara melulu membahayakan nyawa orang awam di kedua-dua belah pihak," katanya.

Bagaimanapun, Duta Palestin, Riyad Mansour, menyelar tindakan Israel sebagai melakukan pencerobohan yang tidak wajar.

"Adakah anda bersedia untuk katakan cukuplah? Sebagai pihak berkuasa tertinggi yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa?

"Berapa ramai lagi anak-anak yang perlu kita kebumikan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 10:17 AM