Bungkusan mayat berselubung putih yang mewakili mangsa konflik Israel-Hamas, diletakkan di hadapan Rumah Putih di Washington, DC, pada 15 November 2023. FOTO AFP
Bungkusan mayat berselubung putih yang mewakili mangsa konflik Israel-Hamas, diletakkan di hadapan Rumah Putih di Washington, DC, pada 15 November 2023. FOTO AFP
Agensi

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akhirnya mencapai resolusi bagi menggesa jeda kemanusiaan ke atas konflik melanda Semenanjung Gaza.

Resolusi itu bertujuan membolehkan penghantaran bantuan dan pemindahan perubatan selain menggesa koridor keamanan di seluruh Semenanjung Gaza untuk melindungi orang awam terutama kanak-kanak.

Ia juga meminta pembebasan tanpa syarat tawanan yang ditahan di Gaza.

Draf resolusi itu diluluskan 15 anggota pada Rabu selepas empat kali cubaan menghentikan konflik Palestin-Israel gagal.

Draf itu meraih sokongan 12 undi dengan tiga berkecuali termasuk Rusia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Resolusi yang dikemukakan Duta Malta, Vanessa Frazier itu tidak menyebut tentang gencatan senjata.

Ia tidak merujuk kepada serangan kumpulan Hamas Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober, di mana pihak berkuasa Israel mengatakan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 240 ditawan.

Ia mengetepikan serangan udara balas Israel dan serangan darat di Gaza, yang menurut pegawai Kementerian Kesihatan membunuh lebih 11,000 rakyat Palestin, dua pertiga daripadanya wanita dan kanak-kanak.

Resolusi itu menyenaraikan bahan api sebagai antara item yang mesti dibenarkan untuk dihantar ke wilayah itu tanpa halangan.

Bercakap mengenai draf resolusi itu, Frazier berkata, resolusi itu bertujuan memastikan konflik mimpi ngeri di Gaza 'direhatkan' sekali gus memberi harapan kepada keluarga semua mangsa.

Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan menyifatkan resolusi itu tidak memberi makna serta menganggapnya terputus dari realiti sebenar.

"Israel bertindak mengikut undang-undang antarabangsa di Gaza, dakwaan yang ditolak beberapa pakar mengenai perkara itu," tulisnya di platform X.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 10:47 AM