Gambar diambil di selatan Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza pada 7 Disember 2023, menunjukkan asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel ke atas Gaza. FOTO AFP
Gambar diambil di selatan Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza pada 7 Disember 2023, menunjukkan asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel ke atas Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) yang bersidang di Gaza hari ini dijangka memutuskan gencatan senjata segera ke atas wilayah Palestin itu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric menyatakan harapan UNSC akan mendengar gesaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Rabu lalu.

Dujarric berkata sejak Rabu lalu, ketua PBB bercakap dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dan Setiausaha Luar Britain, David Cameron dan rakan sejawatan mereka dari beberapa negara lain.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berharap UNSC akan menerima pakai resolusi itu dan akan mendengar pendirian Guterres yang berani dan berprinsip.

Dalam surat kepada UNSC Rabu lalu, Guterres mengambil langkah luar biasa dengan menggunakan Artikel 99 piagam PBB bagi menggesa perang di Gaza dihentikan segera.

Artikel itu menyatakan, setiausaha agung boleh membawa kepada perhatian majlis apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Di tengah-tengah pengeboman berterusan Pasukan Pertahanan Israel dan tanpa perlindungan atau keperluan penting untuk terus hidup, saya menjangkakan ketenteraman awam akan rosak sepenuhnya tidak lama lagi disebabkan keadaan terdesak menjadikan bantuan kemanusiaan yang terhad adalah mustahil.

"Saya gesa gencatan senjata kemanusiaan segera untuk mencegah malapetaka dengan implikasi yang tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin dan seluruh Timur Tengah," tulisnya dalam surat itu.

Tindakan Guterres mengejutkan ramai pihak apabila dalam sejarah beberapa dekad ini, tiada seorang pun penyandangnya berani menyuarakan pendirian sedemikian.

Selepas Guterres menghantar surat tergemparnya, Emiriah Arab Bersatu menyediakan draf resolusi yang akan diundi pada Jumaat, kata delegasi dari Ecuador yang mempengerusikan majlis itu bulan ini.

Versi terbaru dokumen ini dilihat AFP menyebut situasi kemanusiaan di Gaza sebagai malapetaka dan menuntut segera gencatan senjata kemanusiaan.

Teks pendek itu juga menyeru untuk perlindungan orang awam, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan yang masih ditahan Hamas dan akses kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Namun, keputusan undian masih tidak jelas apabila empat draf awal yang dibentangkan sejak perang meletus ditolak UNSC.

Serangan dan pengeboman tanpa henti Israel memusnahkan sebahagian besar Gaza hingga 1.8 juta orang iaitu 80 peratus penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.

Israel turut mengehadkan kemasukan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 3:07 PM