SISTEM antipeluru berpandu Iron Dome Israel menembak untuk memintas roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah Israel sejurus sebelum gencatan senjata antara Palestin dan Israel berkuat kuasa. FOTO EPA
SISTEM antipeluru berpandu Iron Dome Israel menembak untuk memintas roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah Israel sejurus sebelum gencatan senjata antara Palestin dan Israel berkuat kuasa. FOTO EPA
AFP

Semenanjung Gaza

Selepas tiga hari berperang, akhirnya Israel dan pejuang Palestin memulakan gencatan senjata dengan Mesir bertindak selaku orang tengah dalam usaha menamatkan peperangan di Gaza.

Dalam pertempuran itu, sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh termasuk 15 orang kanak-kanak.

Gencatan senjata yang secara rasmi bermula jam 11.30 malam waktu tempatan bertujuan membendung pertempuran terburuk yang memusnahkan wilayah pesisir pantai Palestin.

Israel melakukan serangan bertubi-tubi termasuk bedilan roket berlaku menjelang gencatan senjata itu, dengan siren amaran dibunyikan di selatan Israel beberapa ketika sebelum dan selepas tempoh akhir ditetapkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tiga minit selepas gencatan senjata bermula, tentera Israel berkata, sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel, tenteranya kini menyerang pelbagai sasaran milik pejuang Islam di Gaza.

Dalam kenyataan lain selepas itu, pasukan tentera Israel berkata, serangan terakhir dilakukan pada jam 11.25 malam.

Walaupun kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan gencatan senjata, masing-masing memberi amaran kepada satu sama lain mereka akan bertindak balas dengan kekerasan terhadap sebarang keganasan.

"Keadaan masih sangat rapuh, saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata," kata Utusan Khas Keamanan Asia Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tor Wennesland dalam satu kenyataan.

Sejak Jumaat, Israel melancarkan pengeboman udara dan tembakan artileri menyasarkan kumpulan pejuang Palestin di Gaza, dengan kumpulan pejuang itu melepaskan ratusan roket sebagai tindak balas.

Kejadian itu menyebabkan banyak bangunan di Gaza musnah, manakala warga Israel terpaksa berlindung daripada serangan roket.

Lewat malam tadi, pejabat Perdana Menteri Israel, Yair Lapid mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas usaha dan mempersetujui gencatan senjata yang dimeterai, namun memaklumkan sekiranya perjanjian itu dilanggar, Israel akan 'mengambil tindakan tegas bagi mengekalkan haknya'.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 3:24 PM