SERANGAN Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.  FOTO AFP.
SERANGAN Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
AFP

Gaza: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh mendesak Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken untuk memanfaatkan jelajah Asia Baratnya dengan menumpukan usaha menamatkan pencerobohan Israel ketika perang semakin memburuk di Gaza.

Diplomat tertinggi AS itu tiba di Turkiye kelmarin, menandakan permulaan lawatan termasuk rancangan mengadakan kunjungan ke Israel dan Tebing Barat yang diceroboh rejim Zionis serta beberapa negara Teluk lain.

Ia adalah jelajah wilayah keempat Blinken sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.

Menerusi mesej video yang disiarkan kelmarin di saluran media sosial Hamas, Ismail menggesa Blinken mengambil iktibar sepanjang tiga bulan lalu, yang mana Israel tidak henti-henti mengebom Gaza termasuk berusaha memusnahkan Hamas.

Menurut Ismail, sokongan AS untuk kempen ketenteraan Israel menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.

"Kami berharap beliau akan lebih fokus kali ini untuk menamatkan pencerobohan serta pendudukan semua tanah Palestin," kata ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar.

Di samping itu, Ismail juga menggesa pemimpin serantau yang akan bertemu Blinken supaya memberitahunya bahawa kestabilan di Asia Barat berkait rapat dengan perjuangan Palestin.

AS yang digelar ketua tentera dan penyokong politik Israel berulang kali dilihat enggan menyokong gesaan untuk melaksanakan gencatan senjata dalam konflik membabitkan Israel-Palestin.

Bagaimanapun, Washington hanya memberi sokongan kepada jeda kemanusiaan dan menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut lebih banyak bantuan masuk ke Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, perang Israel-Palestin menyaksikan sekurang-kurangnya 22,722 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 8:22 AM