HOLLY memegang foto ibu bapanya. FOTO The Texas Office of the Attorney General
HOLLY memegang foto ibu bapanya. FOTO The Texas Office of the Attorney General
Agensi

Texas: Seorang wanita yang hilang ketika bayi apabila ibu bapanya dibunuh di Texas, Amerika Syarikat pada 1980 ditemukan masih hidup selepas lebih 40 tahun tragedi itu berlaku.

Wanita yang dikenali sebagai Baby Holly itu hilang selepas ibu bapanya, Tina Gail Linn Clouse dan Harold Dean Clouse Jr ditemukan terbunuh di kawasan hutan di Houston.

Menurut pegawai, wanita berusia 42 tahun yang masih dipanggil Holly dikenal pasti menggunakan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), sebelum disatukan semula dengan keluarganya.

Penyiasat menemui Holly yang menjadi anak angkat suami isteri di tempat kerjanya awal minggu ini.

Dia diberitahu identitinya sebelum beberapa jam bertemu dengan nenek kandungnya serta ibu dan bapa saudaranya menerusi Zoom.

Nenek kandung Holly, Donna Casasanta berkata, dia terharu mengetahui cucunya masih hidup dan tinggal di Oklahoma.

"Saya berdoa selama lebih 40 tahun untuk sebuah jawapan dan Tuhan mendedahkan sebahagian daripadanya... kami menemui Holly," katanya kepada The Independent.

Penemuan Holly diumumkan Pejabat Peguam Negara Texas, Khamis lalu.

GAMBAR Holly semasa kecil bersama ibu bapanya. FOTO Casasanta/Clouse Family
GAMBAR Holly semasa kecil bersama ibu bapanya. FOTO Casasanta/Clouse Family

Peguam negara, Ken Paxton berkata, dia penemuan Holly satu kejayaan hasil kerja keras pasukannya.

"Saya amat berbangga dengan kerja luar biasa yang dilakukan Unit Orang Hilang dan Kes Beku yang baru ditubuhkan di pejabat saya.

"Pejabat saya dengan tekun bekerja keras merentasi negeri untuk membongkar misteri kehilangan Holly.

"Kami berjaya dalam usaha mencari dia dan menyatukan dia dengan keluarga kandungnya," katanya dalam satu kenyataan.

Tiada penjelasan mengenai sebab Holly terselamat atau bagaimana dia diambil menjadi anak angkat kepada satu pasangan lain.

Pusat Kebangsaan Kanak-Kanak Dieksploitasi dan Hilang menzahirkan penghargaan kepada penguat kuasa undang-undang atas usaha mereka dalam menyelesaikan misteri identiti Holly.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:15 AM