YASER. FOTO AP
YASER. FOTO AP
AP

Washington: Selepas lebih 12 tahun mengelak, seorang lelaki di Dallas, Texas, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam kerana menembak dua anak perempuannya pada 2008 hingga mengakibatkan kematian mangsa.

Yaser Said, 65, didapati bersalah melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Amina dan Sarah, masing-masing berusia 18 dan 17 tahun.

Pendakwa raya tidak meneruskan hukuman mati kerana menyifatkan pembunuhan itu didorong atas faktor keinginan obsesifnya untuk mengawal keadaan.

Sebaliknya, hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Yaser tanpa parol.

Dengan keputusan itu ibu remaja terbabit, Patricia Owens dalam kenyataan impak memberitahu, dia tidak lagi gentar dengan bekas suaminya itu.

Owens, yang berpisah dengan Yaser selepas pembunuhan itu, memberi keterangan bahawa bekas suaminya itu bersikap kasar dan mengongkong serta meyakinkannya untuk kembali ke Texas dari Oklahoma.

Seminggu sebelum kejadian, remaja itu dan ibu mereka melarikan diri dari rumah mereka di Lewisville sebelum ke Oklahoma.

Sementara itu dalam kenyataan penutup, pendakwa raya Lauren Black berkata, Yaser memanipulasi dan mengongkong rumah tangga itu.

Katanya, apabila anak perempuannya mahu menjalani kehidupan mereka sendiri, tertuduh hilang kawalan.

"Dia tidak akan dapat menanganinya, jadi dia membunuh mereka," katanya.

Dua beradik itu mati ditembak dalam teksi yang dipandu bapa mereka yang diletakkan berhampiran sebuah hotel di pinggir bandar Dallas di Irving pada tahun baharu 2008.

Juri mendengar panggilan kecemasan daripada Sarah yang dibuat melalui telefon bimbit, memberitahu operator itu bapanya menembaknya dan dia sedang tenat.

Sarah ditembak sembilan kali dan Amina dua das tembakan.

Peguam bela berkata, mereka akan merayu keputusan itu kerana percaya seseorang boleh mengalami halusinasi pada saat-saat trauma yang melampau seperti apabila mereka ditembak beberapa kali.

Mereka juga berkata, bukti tidak menyokong sabitan dan polis terlalu cepat memberi tumpuan kepada Yaser sebagai suspek.

Dalam pada itu, tertuduh tetap berpendirian dia tidak membunuh anak perempuannya.

Katanya, pada malam kejadian dia membawa mereka makan malam untuk menyelesaikan masalah mereka, namun mendakwa seseorang mengekori mereka sebelum dia meninggalkan mangsa dalam teksi dan melarikan diri.

Namun, pendakwa raya Brandi Mitchell, menyifatkan keterangannya tidak masuk akal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 10:49 AM