Antara mangsa yang maut di kawasan parkir pasar raya selepas diserang suspek. FOTO Reuters
Antara mangsa yang maut di kawasan parkir pasar raya selepas diserang suspek. FOTO Reuters
AFP

New York: Seramai 10 maut manakala tiga cedera dalam serangan bersenjata yang dilakukan seorang remaja lelaki di sebuah pasar raya di Buffalo, New York, semalam.

Insiden disyaki polis sebagai bermotifkan perkauman itu disiarkan secara langsung melalui rakaman kamera oleh suspek kulit putih berusia 18 tahun yang dilengkapi senjata dan memakai helmet serta peralatan taktikal.

Pesuruhjaya Polis Buffalo, Joseph Gramaglia berkata, terdahulu suspek menembak empat orang di kawasan parkir pasar raya itu menyebabkan tiga maut, sebelum masuk ke dalam premis dan meneruskan serangan.

Menurutnya, antara terkorban di dalam pasar raya itu ialah seorang pesara polis yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan bersenjata.

"Pengawal keselamatan itu melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek. Namun, suspek yang memakai perisai badan menembak mati pengawal keselamatan itu.

"Apabila pasukan polis tiba di lokasi kejadian, penyerang itu mengacu pistol ke leher sendiri tetapi berjaya dipujuk dan menyerah diri," katanya pada sidang media.

Polis turut memaklumkan, 11 daripada mangsa kejadian itu adalah warga Afrika-Amerika.

Sementara itu, ejen khas yang mengetuai pejabat lapangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Buffalo, Stephen Belongia berkata, serangan terbabit disiasat sebagai kes jenayah kebencian.

"Kami sedang menyiasat kejadian itu sebagai jenayah kebencian dan kes ekstremisme ganas yang didorong sentimen perkauman," katanya.

Peguam daerah untuk wilayah Erie di mana Buffalo terletak, John Flynn, berkata suspek akan dihadapkan ke muka pengadilan atas pertuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, jika sabit kesalahan.

Mengulas isu sama, Datuk Bandar Buffalo, Byron Brown pula memaklumkan bahawa suspek melakukan perjalanan berjam-jam dari kawasan luar komuniti itu untuk membuat jenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 9:14 AM