INSIDEN itu dilaporkan di Sekolah Tinggi Bostrom di Arizona. FOTO Google.
INSIDEN itu dilaporkan di Sekolah Tinggi Bostrom di Arizona. FOTO Google.
Agensi

Phoenix, Amerika Syarikat: Seorang pelajar di Arizona ditahan polis selepas membawa senjata api jenis AR-15 ke sekolah, Jumaat lalu.

Metro UK melaporkan, remaja lelaki berusia 15 tahun itu turut membawa peluru yang disembunyikan di dalam bekas makanan.

Polis di Phoenix yang menerima maklumat penemuan senjata api segera ke Sekolah Tinggi Bostrom di bandar itu.

Jabatan Polis Phoenix (PPD) berkata, pegawai bertindak pantas menahan pelajar terbabit sebaik tiba pada jam 1 tengah hari.

"Pegawai menahan seorang pelajar lelaki di pejabat utama sekolah.

"Pelajar itu didapati memiliki senapang separa automatik. Peluru tambahan ditemukan di dalam beg galas dan bekas makanannya," katanya.

PPD berkata, kejadian itu masih dalam siasatan.

Selain itu, motif dan pertuduhan yang bakal dihadapi oleh remaja terbabit juga belum didedahkan.

Pejabat Sekolah Bersepadu Daerah Phoenix berterima kasih kepada polis atas tindakan pantas mereka.

"Keselamatan dan kesejahteraan kakitangan, pelajar serta pelawat menjadi keutamaan kami. Kami akan memberikan kerjasama dalam siasatan," katanya.

Amerika Syarikat menyaksikan lonjakan besar kes tembakan pada tahun ini, termasuk yang berlaku di sekolah.

Pada Mac lalu, seorang individu bersenjata senapang dan pistol menceroboh masuk sebuah sekolah rendah swasta di Nashville, Tennessee dan melepaskan 152 das tembakan, membunuh enam orang termasuk tiga pelajar.

Insiden di Phoenix berlaku hampir setahun selepas seorang lelaki bersenjata memasuki Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas dengan bersenjatakan AR-15, yang membunuh 19 pelajar dan dua guru.

pelajar, senapang, ar-15, sekolah, phoenix, amerika utara, xnstp

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 2:42 PM