POLIS mengawal kawasan hospital berkenaan. FOTO AFP
POLIS mengawal kawasan hospital berkenaan. FOTO AFP
Reuters

Washington: Motif suspek yang menembak mati empat individu termasuk dirinya di sebuah hospital di Tulsa, Oklahoma, kelmarin, adalah mahu membunuh seorang doktor yang pernah merawatnya.

Ketua Polis Tulsa, Wendell Franklin mengesahkan, suspek dikenal pasti sebagai Michael Louis memasuki bangunan Kampus Sistem Kesihatan St Francis dengan senjata api moden sebelum membuat tembakan rambang, pada Rabu lalu.

"Polis menemui sepucuk surat yang menjelaskan motif serangan itu.

"Suspek yang menetap di Muskogee, kira-kira 80 kilometer dari Tulsa, keluar hospital pada 24 Mei selepas menjalani pembedahan tulang belakang, namun dia beberapa kali mengadu sakit belakang.

"Suspek datang dengan niat untuk membunuh pakar bedah ortopedik, Dr Preston Phillips yang pernah merawatnya dan sesiapa sahaja yang menghalangnya," katanya dalam taklimat media.

Katanya, Philips terbunuh bersama pakar perubatan sukan berusia 48 tahun, Stephanie Husen serta penyambut tetamu, Amanda Glenn dan pesakit, William Love, manakala suspek turut menembak dirinya.

"Lelaki itu membeli di kedai senjata tempatan, pada Rabu lalu, serta membeli pistol di kedai pajak gadai tiga hari sebelum itu.

"Pada hari kejadian, suspek berada di tingkat dua garaj yang bersambung dengan Bangunan Natalie, bangunan pejabat perubatan lima tingkat dengan banyak pejabat, bilik dan lorong.

"Polis tiba tiga minit selepas menerima panggilan mengenai tembakan di hospital terbabit pada 4.53 petang sebelum mendengar bunyi tembakan lima minit kemudian ketika lelaki itu membunuh dirinya sendiri," katanya.

Serangan itu berlaku selepas dua lagi pembunuhan beramai-ramai yang mengejutkan rakyat Amerika Syarikat.

Ia membuka semula perdebatan lama mengenai kawalan ketat ke atas pemilikan senjata api dan peranan kesihatan mental dalam keganasan senjata api yang melanda negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 11:11 AM