PENDUDUK Ukraine berdemonstrasi. FOTO AFP
PENDUDUK Ukraine berdemonstrasi. FOTO AFP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penguasaan Rusia dalam ekonomi selain kerjasama dengan negara kuasa besar dipercayai mencetuskan rasa kurang senang negara blok Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) ke atas Moscow.

Felo Kanan Institut Keamanan Global (GPI) London, United Kingdom, Dr Mohd Mizan Aslam berkata, kemajuan ekonomi Rusia dengan kerjasama Turki dan China perlu disekat AS kerana ia dianggap ancaman terhadap kelangsungan negara barat dalam menguasai dunia.

Menurutnya, AS menggunakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk melemahkan Rusia dengan menempatkan pelbagai aset ketenteraan dan menguasai teknologi tinggalan negara Kesatuan Soviet.

"Apabila AS ingin memasukkan Ukraine sebagai ahli Nato, sudah pasti ia menyebabkan Rusia tidak gembira.

"Ini kerana pelbagai kepentingan Rusia sejak penguasaan Kesatuan Soviet bakal berpindah tangan kepada AS dan Nato.

"Antara aset terbesar adalah Pangkalan Laut Servastopol di wilayah Krimea yang menjadi lokasi penting dalam sejarah Rusia.

"Pangkalan laut itu menempatkan pelbagai aset pertahanan laut termasuk kapal selama sejak kurun ke-17 dan pintu utama menguasai Laut Hitam," katanya.

Beliau berkata, keputusan penyelesaian ada di tangan AS dengan menangguhkan keahlian Ukraine sebagai ahli Nato selain mengundurkan pasukan tentera Nato diketuai Washington daripada mana-mana pangkalan tentera di wilayah bersempadan dengan Rusia.

Sementara itu, Pakar Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) perlu menjadi orang tengah menyelesaikan konflik Rusia- Ukraine ini.

Menurutnya, Majlis Keselamatan PBB perlu lebih agresif supaya tindakan ketenteraan dua negara itu boleh dikekang secepat mungkin daripada dibiarkan parah.

"Rusia mempunyai kekuatan ekonomi khususnya membabitkan minyak dan gas asli kerana menjadi antara pembekal utama bagi negara Eropah.

"Tindakan melakukan sekatan terhadap Moscow juga menyebabkan bekalan bahan api itu akan terjejas seterusnya mempengaruhi harga pasaran minyak mentah dan gas asli dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 6:45 AM