WANITA yang melarikan diri Ukraine ketika pusat bantuan di Prezmysl, Poland. FOTO Reuters
WANITA yang melarikan diri Ukraine ketika pusat bantuan di Prezmysl, Poland. FOTO Reuters
AFP

Warsaw: Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki berkata, beliau bimbang Rusia mungkin akan menyerang negaranya, Finland dan negara-negara di kawasan Baltic.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara Eropah untuk mempertingkat perbelanjaan pertahanan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"(Presiden Rusia Vladimir) Putin akan "mahu mengembangkan polisi agresifnya, pencerobohan," katanya kepada akhbar Perancis, Ouest-France.

Beliau berkata, Rusia memulakan usaha itu di Georgia dan Ukraine, dengan sasaran seterusnya adalah negara-negara di kawasan Baltic, Poland, Finland serta negara di kawasan timur rantau itu.

Poland, negara bekas sebahagian Kesatuan Soviet dan kini adalah ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan berkongsi sempadannya dengan Ukraine.

Ketika Rusia melaksanakan pencerobohan besar-besaran di negara jirannya itu pada Khamis, Poland meningkatkan penempatan lebih banyak askar Nato.

Morawiecki berkata, negara di benua itu perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan daripada kira-kira 300 bilion euro kepada 600 bilion euro setiap tahun.

"Itu boleh dilakukan dan akan menjadikan Eropah memainkan peranan utama.

"Era untuk keamanan dan kestabilan antarabangsa kini menuju pengakhiran," kata Morawiecki dalam temu bual yang diterbitkan di akhbar Jerman, Funke Mediengruppe.

Beliau juga mencadangkan pengecualian perbelanjaan pertahanan daripada peraturan kewangan awam Kesatuan Eropah (EU) untuk membenarkan negaranya membelanjakan tiga hingga empat peratus daripada pengeluaran ekonomi tahunannya, bagi tujuan pertahanan susulan pencerobohan Rusia.

Beliau juga menggesa pakej sekatan yang belum pernah berlaku ke atas Moscow dan perbincangan untuk menjadikan Eropah bebas daripada bekalan hidrokarbon Rusia.

"Dengan membeli minyak dan gas Rusia, kami hari ini membiayai dasar pencerobohan Rusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 10:15 AM