DONALD Trump. FOTO AFP
DONALD Trump. FOTO AFP
AFP

Washington: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang untuk kembali ke media sosial dengan menggunakan platformnya sendiri selepas disekat daripada menggunakan Twitter dan aplikasi lain.

Bekas penasihatnya, Jason Miller berkata, Trump dijangka kembali ke media sosial dalam tempoh kira-kira dua atau tiga bulan lagi.

"Orang ramai hanya perlu menunggu dan menyaksikan apa sebenarnya yang akan dilakukan oleh Trump, tetapi ia akan membabitkan platform sendiri," kata Miller kepada Fox News.

Penggunaan media sosial yang provokatif adalah ciri penting bagi Trump di mana beliau berjaya menarik 88 juta pengikut di Twitter dan sering mengeluarkan kenyataan untuk membidas pengkritiknya atau mengumumkan perubahan kakitangan serta polisi yang signifikan.

Bagaimanapun Twitter menyekat akaun @realDonaldTrumpnya selama-lamanya selepas dia menggunakannya untuk mendorong orang ramai mengambil bahagian dalam demonstrasi yang bertukar ganas di bangunan Capitol, di Washington, 6 Januari lalu.

Trump juga disekat untuk sementara atau selama-lamanya, oleh platform utama lain termasuk Facebook, Instagram, YouTube dan Snapchat.

Sejak meninggalkan Washington dan kembali ke kediamannya di Mar-a-Lago di Florida, bekas presiden AS itu lebih perlahan mengeluarkan kenyataan.

Namun, Miller berkata, Trump sebenarnya sedang bekerja keras.

"Terdapat banyak pertemuan penting di Mar-a-Lago dengan sekumpulan individu. Ada juga pertemuan dengan banyak syarikat.

"Platform baharu ini akan menjadi besar, dan semua orang akan menyertainya. Dia akan membawa berjuta-juta orang ke platform baru ini," kata Miller.

Miller bagaimanapun tidak memberikan butiran lain, dan tidak menyatakan sama ada dia akan terbabit secara peribadi.

Walaupun kalah kepada Joe Biden November lalu, Trump tetap berpengaruh dalam Parti Republikan dan tidak menolak kemungkinan menyertai pemilihan presiden pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 6:56 PM