Mohd Herley dan Siti Aishah mengambil gambar di hadapan lori. FOTO Nor Amalina Alias
Mohd Herley dan Siti Aishah mengambil gambar di hadapan lori. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


BAGI memberi kelainan dalam majlis perkahwinannya, seorang pengantin lelaki sanggup memandu lori tiga tan ke tempat kenduri.

Pengantin, Mohd Herley Shahrizal Md Zahari, 23, berbuat demikian sebagai simbolik pekerjaannya sebagai pemandu lori.

Mohd Herley berkata, dia memandu sendiri kenderaan berat itu dan berarak bersama empat biji lori dan 10 kereta bagi menghadiri majlis perkahwinannya.

Katanya, perarakan bermula dari rumahnya di Kampung Kolam ke rumah pengantin perempuan di Kampung Tualang Tinggi, di Pasir Puteh.

"Timbul idea nak berarak guna lori sebab saya nak abadikan pekerjaan saya sebagai pemandu lori, biasanya orang malu kalau kata bawa lori.

"Kali ini, saya pandu sendiri ke majlis supaya orang tahu gambaran sebenar pemandu lori selain nak buat majlis lebih meriah," katanya ketika ditemui di Kampung Tualang Tinggi, di Pasir Puteh.

Katanya, seperti dijangka, ketibaan perarakan unik itu menimbulkan rasa teruja tetamu.

Herley berkata, dia mengenali isteri, Siti Aishah Ishak, 22, di Facebook sebelum mengambil keputusan menamatkan zaman bujang selepas sembilan bulan berkenalan.

Dia berkata, dia bekerja membawa lori dengan mengambil upah membuat perkhidmatan untuk mengangkut barang, pindah rumah dan sebagainya ke seluruh negara.

Katanya, dia sudah lapan bulan bekerja membawa lori memandangkan beberapa adik beradiknya turut menjalankan pekerjaan sama.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, apabila suaminya memberitahu mahu berarak dengan lori, dia menyangka Herley sekadar bergurau.

"Tak sangka, dia dan rakan benar-benar berarak menaiki lori malah kebanyakan tetamu terhibur dengan perarakan ini dan mengambil peluang bergambar dengan deretan lori," katanya yang turut menyediakan ruang parkir khas untuk menempatkan lori dan kereta rombongan pengantin lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:11 PM