PENGANTIN lelaki di Bihar, India maut akibat Covid-19 sebelum menjangkiti lebih 100 orang. FOTO AGENSI
PENGANTIN lelaki di Bihar, India maut akibat Covid-19 sebelum menjangkiti lebih 100 orang. FOTO AGENSI
Agensi

New Delhi: Seorang pemuda berusia 26 tahun di Bihar, India disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 selepas dua hari berkahwin.

Apa yang menjadi perhatian bukannya kisah kematian lelaki itu selepas baru mendirikan rumah tangga.

Sebaliknya apabila 100 daripada tetamu yang menghadiri sama ada majlis perkahwinan dan pengebumiannya dijangkiti virus itu.

Pegawai kerajaan di Bihar berkata, berdasarkan maklumat, lelaki terbabit mempunyai gejala Covid-19 ketika berkahwin pada 15 Jun lalu.

"Setakat ini, seramai 111 orang yang mengunjungi perkahwinan atau majlis pengebumian lelaki itu disahkan positif virus berkenaan.

"Semua mereka dikenal pasti dan diasingkan.

"Namun, tiada seorang pun saudara-mara pengantin lelaki termasuk isterinya diuji positif Covid-19," kata ketua pegawai perubatan di Patna, Raj Kishor Chaudhary.

Chaudhary berkata, kira-kira 400 orang yang menghadiri perkahwinan atau pengebumian itu sudah menjalani kuarantin.

Dalam pada itu, Gulf News melaporkan pengantin lelaki berkenaan pulang ke rumahnya seminggu sebelum majlis perkahwinannya.

Dia mempunyai gejala virus itu dan dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, dia keluar dari hospital untuk meneruskan majlis perkahwinan yang dihadiri lebih 300 jemputan.

Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada terdapat perlanggaran penjarakan sosial dengan jumlah tetamu dalam dua majlis berkenaan.

Ketika ini, India membenarkan tidak lebih 50 tetamu menghadiri majlis perkahwinan bagi mengekang penularan Covid-19.

Hanya 20 orang dibenarkan menyertai acara pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:30 AM