Kuala Lumpur: Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels), peneraju pasaran barang kemas hiasan akan melanjutkan festival berliannya, Diamond Fest 2015 yang bermula pada 1 hingga 30 April ini kepada 1 hingga 4 Mei ini dalam usaha merancakkan lagi jualan dalam festival berkenaan.

Diamond Fest 2015 menawarkan sehingga 70 peratus diskaun kepada produk dan jenama tertentu berlian dan juga barangan kemas lain yang berlangsung di 32 cawangnya di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Sri Meer Sadik Habib berkata, lanjutan tempoh festival itu juga akan menampilkan koleksi jenama terbarunya, Donna Oro iaitu koleksi perhiasan berlian dari Itali yang kali pertama dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, bagi membolehkan orang ramai menikmati jenama terbaru itu, Habib Jewels turut menawarkan harga diskaun kepada koleksi Donna Oro.

“Lanjutan tempoh Diamond Fest 2015 adalah strategi kami untuk meningkatkan pembelian orang ramai kepada barangan kemas selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang memberi kesan kepada sentimen pembeli.

“Malah, kami ingin meneruskan kempen kesedaran kepada pelanggan mengenai berlian sebagai satu cabang pelaburan yang berpotensi tinggi,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:22 AM