WARGA Thailand yang dipindahkan di Sudan, selamat tiba di terminal tentera Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok. FOTO AFP
WARGA Thailand yang dipindahkan di Sudan, selamat tiba di terminal tentera Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok. FOTO AFP
BERNAMA

Khartoum: Beberapa negara Asia memindahkan beribu-ribu rakyat mereka dari Sudan sepanjang gencatan senjata antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selama 72 jam.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam Selasa waktu tempatan, adalah usaha terbaru untuk menghentikan pertempuran yang meletus pada 15 April.

Pakistan memindahkan 700 daripada kira-kira 1,500 rakyatnya yang terkandas di Sudan.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kesemua 30 rakyatnya selamat tiba di Jeddah, bandar pelabuhan Arab Saudi.

Indonesia pula berkata, ratusan warganya di Sudan sudah dipindahkan dengan lebih 667 daripada mereka tiba di Jeddah, menurut laporan itu.

Kumpulan pertama 360 orang India dari Sudan yang dilanda krisis, tiba di New Delhi, pada petang Rabu menerusi Operasi Kaveri, menurut Kementerian Luar India.

Semasa gencatan senjata selama 72 jam, Filipina juga memindahkan 409 warganya dari Sudan ke negara jiran Mesir dengan selamat.

Terdapat kira-kira 740 warga Filipina di Sudan, majoriti daripada mereka adalah pekerja profesional, pekerja ladang atau pertanian, pelajar dan pekerja perkhidmatan isi rumah, kata Agensi Berita Filipina, memetik kenyataan daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri.

Korea Selatan memindahkan 28 rakyatnya pada Selasa dan menerbangkan mereka ke Seoul dengan pesawat tentera.

Menteri Luar Australia Penny Wong turut menggesa rakyatnya meninggalkan Sudan sebelum gencatan senjata tamat pada Khamis malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 8:31 AM