Kapal yang membawa kira-kira 1,687 orang awam dari lebih 50 negara meninggalkan Sudan kini tiba di Jeddah. - FOTO AFP
Kapal yang membawa kira-kira 1,687 orang awam dari lebih 50 negara meninggalkan Sudan kini tiba di Jeddah. - FOTO AFP
AFP

Jeddah: Sebuah kapal membawa 1,687 orang awam dari lebih 50 negara yang melarikan diri dari Sudan berlabuh di Arab Saudi semalam, kata kementerian luar, usaha pemindahan terbesar oleh kerajaan Teluk setakat ini.

Arab Saudi menerima beberapa pusingan pemindahan melalui udara dan laut sejak pertempuran meletus di negara ketiga terbesar di Afrika itu pada 15 April, sebahagian daripada apa yang disifatkan penganalisis sebagai usaha untuk meletakkan sebagai pemain utama dalam bertindak balas kepada krisis serantau.

Kumpulan yang tiba di bandar pantai Jeddah dari Pelabuhan Sudan pada Rabu 'diangkut oleh salah satu kapal kerajaan', kata kementerian itu.

Ia termasuk 13 warga Arab Saudi, manakala selebihnya dari negara di seluruh Timur Tengah, Afrika, Eropah, Asia dan Amerika, tambah kementerian itu.

Kementerian Luar Indonesia berkata, seramai 560 warganegaranya berjaya dipindahkan dari Sudan ke Arab Saudi, walaupun tidak jelas sama ada semua mereka berada di atas kapal yang sama yang tiba di Jeddah pada pagi Rabu.

Jakarta sedang memindahkan satu lagi kumpulan membabitkan lebih 300 rakyat Indonesia melalui darat dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan dalam persediaan untuk pusingan kedua pemindahan, kata jurucakap Teuku Faizasyah kepada AFP.

Kementerian Luar Sri Lanka berkata 13 rakyatnya tiba di Jeddah dari Sudan, manakala 12 lagi sedang menunggu pemindahan di Pelabuhan Sudan.

Sekurang-kurangnya 459 orang terbunuh dan lebih 4,000 cedera, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setakat ini, seramai 2,148 orang sudah dipindahkan dari Sudan, termasuk lebih 2,000 warga asing, kata kementerian itu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pertempuran yang masih berlaku mencetuskan risiko biologikal yang besar.

Ini kerana tindakan pejuang yang tidak mempedulikan gencatan senjata dan menguasai sebuah makmal menyimpan sampel taun, demam campak, polio serta pelbagai penyakit berjangkit lain di ibu negara Sudan.

Ia mungkin mencetuskan 'risiko biologikal yang besar' jika berlaku kebocoran makmal di negara bergolak itu.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Perthes, memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam bahawa gencatan senjata tidak dipatuhi sepenuhnya, dengan ibu pejabatnya turut diserang hendap.

"Usaha mengekang serangan darat, serangan udara dan bedilan di serata ibu negara, Khartoum, ternyata gagal dan tiada tanda-tanda pihak bertelagah sudah bersedia untuk rundingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 4:22 PM