PENYOKONG Houthi menunjuk perasaan di Taiz,  bandar ketiga terbesar di  Yaman membantah serangan yang diketuai Arab Saudi terhadap negara itu, semalam.
PENYOKONG Houthi menunjuk perasaan di Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman membantah serangan yang diketuai Arab Saudi terhadap negara itu, semalam.

Aden: Militan al-Qaeda berjaya menguasai sebahagian besar sebuah ibu negeri di Yaman semalam, sehari selepas membebaskan 300 banduan dari penjara berhampiran.

Ratusan militan bersenjata yang mengibarkan bendera hitam rangkaian pelampau Islam itu dilihat meronda dan mengadakan sekatan jalan raya di Mukalla, ibu negeri wilayah Hadramawt.

Seorang pegawai tempatan berkata: “Anggota al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) menguasai daerah di Mukalla tetapi bukan keseluruhan bandar itu.

“Kemudahan utama kerajaan tempatan di timur bandar berkenaan termasuk kem tentera, lapangan terbang dan pelabuhan masih di bawah penguasaan tentera kerajaan.”

Kumpulan itu membuat pengumuman dari masjid di bandar itu, menggesa penduduk bangkit berjihad menentang Syiah, kata penduduk tempatan.

Yaman semakin bergolak sejak operasi ketenteraan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara pada 26 Mac lalu terhadap pemberontak Syiah yang berjaya menawan sebahagian besar negara itu termasuk ibu negara, Sanaa.

Pegawai kanan al-Qaeda, Khalid Batarfi antara lebih 300 banduan yang berjaya melepaskan diri dari penjara di Mukalla kelmarin yang diserbu kumpulan berkenaan.

Anggota al-Qaeda turut menyerang kompleks pentadbiran tempatan, cawangan bank pusat dan ibu pejabat polis di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:09 AM