PELARIAN di kem Munigi dekat Gomo, wilayah Kivu Utara berkongsi makanan hasil sumbangan dermawan sempena Aidilfitri, semalam. FOTO Reuters.
PELARIAN di kem Munigi dekat Gomo, wilayah Kivu Utara berkongsi makanan hasil sumbangan dermawan sempena Aidilfitri, semalam. FOTO Reuters.
Reuters

Goma (Congo): Ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri dengan meriah dan disaji pelbagai juadah istimewa, pelarian di Republik Congo pula hanya berharap kepada sumbangan untuk meraikan hari kemenangan itu.

Maisara Abdu, 26, berkata, dia sudah berputus asa untuk meraikan hari raya bersama lima anaknya disebabkan kekurangan bantuan dan bekalan makanan.

Namun, sumbangan makanan yang tiba minggu lalu mengubah segala-galanya.

"Kami menunggu keajaiban daripada Tuhan. Kami menunggu bantuan-Nya dihantar, dan sekarang lihat, mereka datang membawa makanan kepada kami.

"Kami sangat gembira, kami bersyukur kepada Allah," katanya.

Ketika itu, pemuda Islam menjinjing antaranya beras, kacang dan ikan, menghampiri satu khemah ke khemah lain untuk 'menghadiahkan' sumbangan raya berkenaan.

Lebih sejuta orang melarikan diri daripada pertempuran antara kumpulan bersenjata dan tentera kerajaan di wilayah Kivu Utara sejak Mac 2022.

Di kem Munigi di pekarangan sebuah masjid luar bandar Goma, ratusan tinggal di khemah sementara yang ditutupi tikar dan plastik bagi mengelak hujan.

Bahagian lain Congo termasuk timur laut, hubungan antara orang Kristian dan Islam merosot berikutan peningkatan serangan oleh pasukan pemberontak ADF Uganda yang bergabung dengan kumpulan negara Islam, namun di kem Munigi, masyarakat kedua-dua agama tinggal bersebelahan.

Jiran Abdu, Francine Mapendo yang beragama Kristian memberitahu dia turut menerima hadiah sama pada Aidilfitri ini.

"Kami orang Kristian juga menerima bantuan dan berterima kasih kepada mereka. Semoga Tuhan memberkati mereka dengan limpah rahmatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 3:48 PM